MAYAT mangsa dibawa ke hospital untuk besah siasat. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT mangsa dibawa ke hospital untuk besah siasat. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang terjatuh ke dalam Sungai Merbok, Kampung Bikan Atas, Labu Besar, di sini, semalam, ditemui lemas pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, mangsa, Irdina Aleesya Zamri, yang juga orang kurang upaya (OKU), ditemui pada 7.50 pagi oleh anggota bomba kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke tebing dengan bantuan pihak bomba dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

"Pihak polis meminta orang ramai supaya memastikan anak mereka tidak bermain di kawasan sungai disebabkan paras air yang meningkat ketika ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, dalam kejadian semalam, kanak-kanak perempuan itu disedari hilang oleh ibunya selepas dia a didapati tiada di rumah kira-kira 6 petang.

Beliau berkata, ibu mangsa dan beberapa ahli keluarganya kemudian keluar mencarinya di sekitar kawasan rumah sehingga ke Sungai Sedim yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

"Bagaimanapun, ibunya menemui selipar mangsa yang berada di tebing sungai dan tualanya di atas tebing lalu mengesyaki anaknya terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

"Berikutan itu, mereka membuat laporan polis malam tadi, berhubung kejadian dan operasi dilakukan di kawasan itu dengan bantuan pihak bomba," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan dengan bantuan anggota bomba dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, sejak malam tadi.

Beliau berkata, selepas ditemui, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 9:28 AM