GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Cubaan seorang lelaki warga Myanmar memberi suapan kepada anggota polis sebaik ditahan di sekatan jalan raya (SJR) memakan diri.

Dalam kejadian pada jam 6.35 petang Sabtu lalu, lelaki itu ditahan bersama tiga rakan senegaranya dan seorang warga tempatan di SJR Simpang Tiga Alor Hijau, Selising, Pasir Puteh, dekat sini dalam sebuah kereta.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, anggotanya menahan kenderaan jenis Perodua Kancil warna silver yang datang dari arah Selising menuju ke arah Kok Lanas.

"Pemeriksaan dibuat dan terdapat lima individu dalam kenderaan terbabit iaitu empat warga Myanmar serta seorang lelaki tempatan.

"Anggota mengarahkan semua mereka menunjukkan kad pengenalan diri dan dokumen pengenalan diri untuk diperiksa namun empat warga Myanmar itu gagal berbuat demikian.

"Seorang dari lelaki Myanmar itu datang dan menghulurkan 20 keping not RM50 iaitu jumlah RM1,000 kepada seorang anggota polis yang bertugas untuk melepaskan dirinya serta rakan yang lain," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Shafien berkata, semua mereka ditahan dan hasil ujian saringan mendapati warga lelaki warga tempatan berusia 39 tahun positif dadah jenis methampethamine.

Menurutnya lagi, sesemua lelaki warga Myanmar ditahan reman di bawah Akta Imigresenselama 14 hari sehingga 5 Disember dan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen.

"Bagi kesalahan cuba memberi suapan ,kes disiasat di bawah Seksyen 19 (B) Akta SPRM 2009 manakala lelaki melayu itu disiasat di bawah Sekyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 10:08 AM