Mhd Khairol Anuar menunjukkan pintu rumahnya yang diketuk secara misteri di Kampung Batu 37 di Sabak Bernam. Foto Ihsan Mhd Khairol Anuar Mhd Zaini
Mhd Khairol Anuar menunjukkan pintu rumahnya yang diketuk secara misteri di Kampung Batu 37 di Sabak Bernam. Foto Ihsan Mhd Khairol Anuar Mhd Zaini
Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Bunyi ketukan pintu yang kuat hingga mengejutkan orang mencetuskan tanda tanya kepada penduduk di beberapa kampung di daerah ini sejak kelmarin.

Ia menjadi tanda tanya kepada penduduk kerana tidak tahu siapa yang berbuat demikian.

Bunyi ketukan itu turut menjadi persoalan dengan pelbagai ulasan daripada netizen antaranya mendakwa ada individu tidak bertanggungjawab sengaja melakukan perbuatan itu dan ia tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial, Facebook (FB).

Difahamkan, gangguan ketukan itu berlaku pada waktu malam hingga awal pagi itu dan membabitkan beberapa kampung lain antaranya Batu 38, Kampung Tengah, dan Kampung Banting.

Penduduk Kampung Batu 37, Mhd Khairol Anuar Mhd Zaini, 38, berkata, ketika berada di dapur rumahnya kira-kira 10.45 malam, dia terdengar bunyi ketukan pintu yang datang dari dapurnya.

"Bunyi ketukan itu kuat seolah-olah seseorang mahu masuk ke dalam rumah dengan cepat.

"Apabila saya intai di tingkap, saya tidak nampak siapa yang ketuk. Beberapa minit kemudian, bunyi ketukan itu kembali dan ia datang dari bilik air di dalam rumah.

"Kebetulan bilik air itu sudah lama tidak digunakan, jadi seluruh tubuh saya menggigil dan bulu roma meremang sebaik dengar ketukan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Penduduk Kampung Tengah, Nor Zaihana Yaakob, 38, pula berkata, bunyi ketukan itu turut dialaminya bersama dua anak dan ibunya ketika berada di rumah.

"Mulanya saya ingatkan dua anak saudara pulang dari kerja tetapi sangkaan itu meleset apabila tiada siapa di luar rumah sewaktu saya menjenguk di tingkap.

"Seram jugalah dengan keadaan ini. Suami tiada di rumah ketika itu kerana bekerja malam," katanya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 37 Darat, Muhammad Nazri Saiman memaklumkan pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu.

Muhammad Nazri berkata, gangguan itu turut berlaku kepadanya semasa berada di rumah kira-kira 11 malam kelmarin.

"Difahamkan, hampir separuh penduduk kampung ini mengadu berkenaan kejadian (ketukan pintu) itu.

"Saya menasihatkan mereka agar berhati-hati dan tidak membuka pintu sekiranya terdengar bunyi mencurigakan," katanya.

Menurutnya, penduduk dinasihatkan menghubungi pihak polis atau pihaknya selain jiran terdekat sekiranya ternampak individu mencurigakan.

"Kami sudah mengambil tindakan dengan melakukan rondaan membabitkan sukarelawan MPKK bermula 10 malam hingga 3 pagi di sekitar kampung ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 6:02 PM