Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kanak-kanak yang hilang di Sungai Chepor dekat Kampung Chepor Dalam, Selasa lalu ditemui lemas di sungai berhampiran sebuah kilang di Lahat di sini, hari ini.

Mayat Muhammad Deniss Ramadhan Amar Fizry, 10, ditemui pasukan sukarelawan, Kayak Kamparado pada jarak 17 kilometer (km) dari tempat dia jatuh.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan penemuan pada 2.55 petang dan kerja membawa naik mangsa dilakukan pasukan penyelamat.

Terdahulu, lima anggota bomba dan penyelamat melakukan pencarian sejauh 1.5 kilometer, manakala sepasukan anggota bersama pasukan sukarelawan berkenaan mencari di Sungai Kuala Pari hingga ke Sungai Kinta berjarak tujuh ke 10 kilometer.

MUHAMMAD Deniss Ramadhan ditemui lemas selepas dihanyutkan di Sungai Chepor dekat Kampung Chepor Dalam. FOTO Ihsan bomba Perak
MUHAMMAD Deniss Ramadhan ditemui lemas selepas dihanyutkan di Sungai Chepor dekat Kampung Chepor Dalam. FOTO Ihsan bomba Perak

Pencarian hari ketiga dilakukan di permukaan dan sungai menggunakan dua bot serta empat kayak.

Menurut jurucakap, operasi turut disertai anggota Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan yang melakukan pencarian di Jeti Pokok Assam, Teluk Intan dengan menggunakan dua bot.

Turut serta dalam operasi itu, anggota unit K9 Polis Diraja Malaysia.

Kanak-kanak berkenaan dilapor hilang Selasa lalu selepas dipercayai terjun sungai untuk membantu mengambil selipar rakannya.

Berita berkaitan

Operasi mencari Muhammad Deniss ditangguhkan sementara

'Nampak dia hanyut, minta tolong' - Saksi [METROTV]

Budak hilang dihanyutkan arus [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 5:48 PM