Siti Rohana Idris


PERSATUAN Nelayan Kawasan Tumpat (PNKT) merayu kerajaan melanjutkan tempoh lesen Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) bagi nelayan Zon A.

Pengurusnya, Ismail Daud berkata, kebanyakan lesen mereka sudah tamat 31 Mac lalu, sekali gus menyukarkan lebih 30 nelayan Zon A kerana mereka yang dibenarkan menggunakan pukat hanyut sahaja.

Beliau berkata, nelayan Zon A terdiri daripada nelayan pesisir pantai.

Katanya, hasil tangkapan yang diperoleh sangat berkurangan jika hanya menggunakan pukat hanyut, kerana boleh memasuki kawasan sehingga dua batu nautika sahaja.

“Lebih-lebih lagi sekarang musim sotong, ia tidak boleh masuk ke pukat hanyut kecuali ikan besar dan ia memberi kerugian kepada nelayan.

“Ramai dalam kalangan nelayan yang baru beberapa minggu dapat turun ke laut kerana sebelum ini cuaca tidak mengizinkan.

“Kami memohon agar kerajaan dapat melanjutkan tempoh lesen PTMT, lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai terjejas termasuk nelayan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting, Tumpat, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Tumpat, Mohamed Shaam Abd Kadir.

Terdahulu mereka meninjau aktiviti jual beli dan pendaratan hasil laut di kompleks LKIM itu.

Ismail berkata, sepanjang tempoh PKP, kira-kira 3,500 nelayan di daerah ini masih boleh menjalankan aktiviti menangkap ikan seperti biasa dan mampu membekalkan hasil laut kepada pembeli.

Katanya, sebagai membantu meningkatkan pendapatan nelayan, PKNT juga memberi insentif kepada nelayan yang menjual hasil tangkapan kepada pihak LKIM di sini dengan memberi rebat sebanyak 20 sen untuk sekilogram.

“Kaedah ini sudah diperkenalkan sejak November tahun lalu dan insentif itu memberi manfaat besar kepada nelayan terutama di musim ramai orang terjejas sekarang (PKP).

“Dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan Jumaat lalu, nelayan turut tersenarai sebagai penerima bantuan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut bersepakat menambah jumlah bantuan, namun bentuknya belum diputuskan sama ada kewangan atau barang keperluan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 5:49 PM