Siti Rohana Idris

Tumpat: Nelayan sudah pasti berdepan dengan masalah pendapatan yang terjejas disebabkan tidak dapat turun ke laut apabila musim tengkujuh bermula tidak lama lagi.

Justeru, nelayan di sekitar Tumpat berharap elaun sara hidup dapat dinaikkan daripada RM250 sebulan kepada RM300 bagi menampung kelangsungan hidup keluarga apabila mereka tidak dapat turun mencari rezeki di laut sepanjang tempoh itu.

Nelayan dari Kampung Tanjung Che Mas, Mohd Asri Sidik, 53, berkata, penambahan amaun elaun itu diharap dapat menjadi kenyataan pada pembentangan Belanjawan 2021 yang akan diumumkan, esok.

"Kami sudah cukup berterima kasih dengan elaun yang diberi namun jika dinaikkan menjadi RM300 sebulan, ia cukup memberi kelegaan kepada kami bagi menampung hidup sepanjang tiga hingga empat bulan tidak dapat turun ke laut.

"Musim tengkujuh kini semakin hampir dan ada dalam kalangan kami yang tetap keluar ke laut walau berdepan dengan ombak tinggi dan laut bergelora namun ada juga yang berpatah balik," katanya ketika ditemui di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Che Mas, di sini, hari ini.

MAT Rusuk (kanan) bersama Che Lah (kiri) dan Mohd Asri, membaiki bubu sebelum turun kelaut ketika ditemui di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Che Mas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MAT Rusuk (kanan) bersama Che Lah (kiri) dan Mohd Asri, membaiki bubu sebelum turun kelaut ketika ditemui di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Che Mas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Tumpat Mohamed Shaam Abd Kadir berkata, beberapa tahun sebelum ini, nelayan pernah menerima jumlah elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan sebelum kerajaan bertukar dan dikurangkan kepada RM200 dan kini RM250.

Beliau mewakili suara nelayan khususnya kawasan Tumpat mengharapkan ada berita gembira dalam pengumuman Belanjawan 2021 sama ada penambahan elaun sara hidup atau bantuan lain.

"Umum mengetahui hasil yang diperoleh nelayan tidak menentu dan ada juga yang kental tetap turun ke laut walaupun dalam musim tengkujuh biarpun tahu risiko yang bakal dihadapi.

"Sepanjang tiga atau empat bulan tidak dapat turun ke laut, rata-rata nelayan hanya membaiki bot, sampan atau bubu dan menjahit pukat tanpa ada pendapatan sampingan lain untuk menyara keluarga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 6:31 PM