MUHAMMAD Faiz (dua kiri) menyampaikan replika cek kepada Maznah yang kematian  suami ketika menangkap ikan di laut. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMMAD Faiz (dua kiri) menyampaikan replika cek kepada Maznah yang kematian suami ketika menangkap ikan di laut. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris

SEBANYAK 58 kes tuntutan membabitkan jumlah RM701,011 sudah dibayar dalam tempoh lapan tahun sejak insurans kemalangan nelayan diperkenalkan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, daripada jumlah itu, dua tuntutan membabitkan kes kematian nelayan di laut.

Beliau berkata, insurans yang diperkenalkan sejak 2012 itu meliputi kes kematian dan kemalangan sama ada mendatangkan kecederaan atau kerosakan peralatan ketika menangkap ikan.

Katanya, setakat ini, 40,000 nelayan mencarum insurans kemalangan dianggarkan hampir 30 peratus belum berbuat demikian.

“Kami galakkan semua nelayan membuat caruman insurans menerusi syarikat yang dilantik untuk menguruskan kemalangan di laut.

“Bayarannya hanya RM100 setahun dan majoriti nelayan sedar kepentingan insurans ini supaya mereka menerima perlindungan ketika turun ke laut,” katanya di Kompleks LKIM Geting, Tumpat , semalam.

Terdahulu, beliau menyampaikan replika cek kepada balu nelayan, Maznah Yacob@Mamat, 40, yang kematian suami, Lazim Yusof, 43, ketika menangkap ikan pada Mac tahun lalu.

Maznah menerima sejumlah bayaran insurans kemalangan di mana ia sudah dimasukkan ke dalam akaun pada Julai lalu.

Hadir sama, Pengarah LKIM Kelantan, Zarina Abd Latiff dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tu mpat, Mohamed Shaam Abd Kadir.

Pada majlis itu, seramai 200 nelayan di kawasan Tumpat menerima bantuan musim tengkujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 6:05 AM