BOT nelayan yang tersadai berikutan  masalah muara cetek di Kompleks Pendaratan Lembaga Ikan Malaysia di Kuala Besar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
BOT nelayan yang tersadai berikutan masalah muara cetek di Kompleks Pendaratan Lembaga Ikan Malaysia di Kuala Besar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


TIGA RATUS orang yang mewakili 1,000 nelayan Kota Bharu mengadakan demonstrasi aman bagi mendesak pihak berkenaan mengorek pasir di muara jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Besar, Kota Bharu, hari ini.

Demonstrasi lebih sejam itu menggesa pihak berkenaan supaya menyelesaikan masalah muara jeti cetek kerana menjejaskan aktiviti nelayan untuk keluar ke laut untuk mencari rezeki.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kota Bharu, Shaari Abdullah berkata, masalah muara cetek berlarutan sejak 2004 lagi, namun menjadi serius tiga tahun lalu.

Katanya, kebanyakan mereka adalah nelayan laut dalam dan memiliki bot kelas A tetapi tidak dapat keluar ke laut ekoran air cetek serta bot berada di atas pasir.

"Bot kami tersadai di sini dalam tempoh seminggu atau dua seminggu setiap bulan dan perlu menunggu air pasang untuk keluar mencari rezeki di laut.

"Kami tidak boleh keluar sebarangan kerana bimbang enjin bot rosak dimasuki pasir yang boleh mendatangkan kerugian mencecah ribuan ringgit. Jadi kami perlu tunggu air pasang untuk keluar atau memasuki jeti.

"Lebih sedih, nelayan di sini mengambil keputusan meletakkan bot di jeti Tok Bali di Pasir Puteh, Geting di Tumpat atau Kemasin di Bachok," katanya ketika ditemui di jeti LKIM Kuala Besar, hari ini.

ANTARA 300 nelayan mengadakan bantahan aman  memohon pihak kerajaan negeri supaya menyelesaikan masalah muara cetek. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANTARA 300 nelayan mengadakan bantahan aman memohon pihak kerajaan negeri supaya menyelesaikan masalah muara cetek. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Menurutnya, masalah itu menyebakan Persatuan Nelayan Kota Bharu mengalami kerugian lebih RM20,000 sebulan ekoran tidak dapat mendarat hasil tangkapan di kawasan itu.

Katanya, jeti terbabit jarang digunakan dan jika masalah itu tidak diselesaikan akan memberi kesan kepada penutupan jeti pada masa akan datang.

"Kami sudah mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan negeri Januari lalu, namun masih tiada jalan penyelesaian. Kami juga mahu mengorek pasir di kawasan ini tetapi tidak mendapat kebenaran.

"Saya harap masalah ini dapat diselesaikan memandangkan kebanyakan nelayan tidak mempunyai pendapatan tetap dan hidup kami ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya.

Ketua Nelayan Kota Bharu, Hazahar Mat Sanisah, 45, berkata, masalah jeti cetek dan dipenuhi pasir memaksa nelayan meletak bot dalam jarak lebih 15 meter.

"Kami terpaksa memikul hasil tangkapan untuk dibawa ke jeti. Bayangkan hasil tangkapan laut dalam mencecah ribu kilogram, jadi kami terpaksa berulang lebih 20 kali.

"Ia merugikan masa kerana hasil tangkapan akan lambat sampai ke kedai atau pasar sekali gus menyebabkan ikan kami cepat busuk," katanya.

Katanya, nelayan di kawasan itu berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera dengan menggali pasir bagi mendalamkan muara jeti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 11:45 AM