Siti Rohana Idris


Tumpat: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula hari ini di Kampung Ketil, di sini menyaksikan ada penduduk yang tidak sempat menyimpan stok barang keperluan di rumah masing-masing kerana tuntutan kerja.

Nasib mereka yang termasuk golongan kurang berkemampuan, bagaimanapun mendapat perhatian aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan di sini.

Seorang daripadanya adalah Nur Adilah Nasir, 35, yang memberitahu sempat mengagihkan barang keperluan kepada 25 keluarga memerlukan di kampung itu sebelum PKPD bermula.

"Saya sentiasa mempunyai stok makanan daripada dana penyumbang yang disimpan untuk keperluan asnaf di sekitar Pengkalan Kubor. Jadi sebaik dimaklumkan semalam bahawa ada orang yang memerlukan bantuan ini, maka saya turun padang.

"Sempat saya agihkan kepada mereka. Saya simpati kerana sebahagian besar mereka ini adalah nelayan yang bekerja kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, sudah tentu tidak dapat membuat persediaan bekalan makanan yang secukupnya," katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Aktivis masyarakat, Nur Adilah Nasir,35 menunjukkan stok makanan yang akan diagihkan kepada asnaf sekitar Pengkalan Kubor hasil dana beberapa penyumbang susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Ketil Mukim Pengkalan Kubor.  FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Aktivis masyarakat, Nur Adilah Nasir,35 menunjukkan stok makanan yang akan diagihkan kepada asnaf sekitar Pengkalan Kubor hasil dana beberapa penyumbang susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Ketil Mukim Pengkalan Kubor. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Menurutnya, dia tinggal di Kampung Telaga Lanas yang berjiran dengan Kampung Ketil, jadi tidak menyukarkan untuk bergerak menghantar bantuan apabila diperlukan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Tumpat, Mohamed Shaam Abd Kadir berkata, dianggarkan 40 hingga 50 nelayan tinggal di Kampung Ketil dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerja penangkapan ikan serta kehidupan nelayan itu sendiri.

"Kebanyakan mereka hanyalah nelayan pantai dan hasil tangkapan ikan mereka dibawa ke Kompleks LKIM Geting di sini untuk dijual jika mereka memperoleh hasil banyak.

"Apabila dikenakan PKPD ini, sudah pasti mereka tidak dapat bekerja dan menjejaskan sumber pendapatan mereka dan jualan ikan di kompleks turun berkurangan.

"Kami di pihak persatuan akan cuba membantu nelayan ini dengan mengagihkan barang makanan serta keperluan lain dalam masa terdekat," katanya.

Kampung Ketil dalam Mukim Pengkalan Kubor mempunyai 1,357 penduduk, dikenakan PKPD sehingga 24 Jun susulan pengesanan 47 kes positif Covid-19, dua hari lalu.

Turut dikenakan PKPD adalah Kampung Kutan dalam Mukim Wakaf Bharu yang mempunyai 990 penduduk.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 3:31 PM