SAKINAH menunjukkan kuih luk chup yang sudah disiapkan. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
SAKINAH menunjukkan kuih luk chup yang sudah disiapkan. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Ia kelihatan seperti miniatur buah atau sayur namun kuih berwarna warni berinti kacang hijau atau lebih dikenali 'Luk Chup' sebenarnya adalah pencuci mulut diraja yang menjadi sajian di Thailand.

Sakinah Mustapha, 46, berkata, perkataan Luk bermaksud 'buah', manakala Chup pula bermaksud 'celup' pada asalnya adalah kuih hanya dibuat untuk keluarga diraja dan orang istana, namun kini ia boleh diperoleh dengan mudah di sini.

Menurutnya, kuih Luk Chup adalah pencuci mulut yang dibuat daripada kacang hijau dan dibentuk menjadi pelbagai bentuk, dicat dan kemudiannya dicelup ke dalam agar-agar supaya nampak berkilat dan cantik.

"Untuk membuat Luk Chup, ia memerlukan beberapa bahan utama seperti kacang kuning atau kacang hijau, gula, serbuk agar-agar, air dan pewarna selain air bunga melur bagi menaikkan bau aroma sebatian kacang yang digaul nanti.

"Bagi memastikan tekstur atau isi Luk Chup ini benar-benar lembut, saya akan merendam kacang hijau selama empat jam yang kemudiannya dikukus di atas api perlahan selama sejam dan dikisar sehingga hancur," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bayam, Kota Bharu.

Ibu tunggal kepada empat anak berusia antara 12 hingga 23 tahun ini berkata, kacang hijau yang dikisar itu akan dimasak bersama campuran gula selama sejam setengah sehingga adunan menjadi keras dan dibentuk mengikut kreativiti seperti buah mangga, oren, tembikai dan ceri.

"Selepas kacang yang diadun siap dibentuk seperti buah-buahan atau sayur-sayuran, ia akan dicelup di dalam agar-agar bagi memastikan ia kelihatan cantik dan berkilau seperti kristal," katanya.

"Saya mempelajari cara membuat kuih Luk Chup daripada ibu saudara Zaleha Abdul Hanan yang tinggal di Golok ketika dia berusia 15 tahun.

"Membuat Luk Chup tidaklah sesukar mana, namun yang paling rumit adalah ketika membentuknya menjadi buah-buahan seperti yang diinginkan.

"Bagi memenuhi permintaan pelanggan terutama pada musim perayaan, cuti sekolah, dan majlis perkahwinan, dalam sehari saya memerlukan dua hingga 10 kilogram (kg) kacang untuk membuat Luk Chup.

"Kadang-kadang saya tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan dan terpaksa mencari pekerja selain turut dibantu oleh dua orang anak iaitu, Mohd Afzal Rashid, 18, dan Bibi Nur Khairunnisa 12," katanya.

Sakinah berkata, pada awal mengusahakan perniagaan membuat kuih Luk Chup empat tahu lalu, dia hanya memperoleh RM500 sebulan, namun kini pendapatannya mencecah sehingga RM1,500 sebulan.

"Saya menjual Luk Chup dengan harga RM10 bagi 25 biji. Luk chup yang dibuat boleh bertahan sehingga sebulan jika disimpan di dalam peti sejuk beku.

"Selain luk chup, saya juga mengambil tempahan membuat puding dan kek dengan harga yang berpatutan mengikut budget pelanggan dan kebanyakan mereka bukan sahaja di Kelantan, malah ada juga dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang serta Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 3:40 PM