AGAR-AGAR kering dihasilkan Zaimah kurang manis dengan corak motif bunga.
AGAR-AGAR kering dihasilkan Zaimah kurang manis dengan corak motif bunga.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemanis mulut yang sering disebut sebagai 'kuih orang lama' ini menambah seri meja untuk dihidangkan kepada tetamu hanya di musim perayaan Aidilfitri atau Aidiladha.

Meskipun hanya dijamu satu atau dua kali setahun, namun agar-agar kering, menu tradisional unik dan berwarna-warni ini sentiasa mendapat perhatian penggemarnya tanpa mengira peringkat usia.

Di negeri pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu, agar-agar kering ini dikenali dengan nama 'beleda kering' oleh masyarakat setempat.

Kesukaran memperolehi pemanis mulut ini membuatkan ia seolah-olah semakin dilupakan dan mungkin boleh lenyap begitu sahaja.

Untuk memastikan kuih orang lama ini tidak ditelan zaman, suri rumah Zaimah Zakaria, 36, mengambil langkah berani apabila cuba menghasilkan agar-agar kering yang bagi dirinya mempunyai keunikan tersendiri.

Anak jati Pulau Langkawi ini berkata, agar-agar kering atau dipanggil lengkong kering mempunyai potensi diketengahkan semula sebagai manisan yang bukan sahaja boleh dijamu pada musim perayaan, malah turut sesuai untuk majlis tertentu.

"Sebelum mengeluarkan produk agar-agar ini, saya ada produk sendiri iaitu acar buah dan sambal ikan masin talang.

"Namun melihat pada keunikannya (agar-agar kering) dan yakin boleh diketengahkan sebagai kuih tradisi, saya ambil keputusan menghasilkan agar-agar kering ini, " kata Zaimah yang kini menetap di Sungai Buluh, Selangor sejak 2006.

Berminat dalam bidang masakan sejak remaja, Zaimah sentiasa ingin mencuba sesuatu menu baharu mendorong ibu empat cahaya mata ini menjadikan agar-agar kering sebagai produk jualan.

"Bermula sekadar ingin mencuba pada awal tahun ini, saya tidak sangka menerima maklum balas positif daripada keluarga dan kenalan rapat," katanya menambah, agar-agar kering berwarna antaranya merah, hijau, biru, kuning dan ungu ternyata menarik perhatian penggemarnya.

Menurut Zaimah, dia mendapat resipi agar-agar kering daripada seorang kenalan dan meskipun diolah sedikit resipi berkenaan, agar-agar kering dihasilkannya masih mendapat sambutan dalam kalangan penggemar kuih tempatan.

"Bermula dengan menjualnya kepada rakan, saya ya memberanikan diri mempromosikan agar-agar kering itu melalui platform dalam talian," katanya.

Katanya, kebanyakan pelanggan membeli bukan sekadar dijadikan kudapan, sebaliknya ditempah untuk acara tertentu termasuk sebagai hantaran dan cenderamata majlis pertunangan serta perkahwinan.

Mengulas lanjut, Zaimah yang menjalankan perniagaannya di rumah berkata, agar-agar kering dihasilkan mempunyai motif bunga pelbagai bentuk dan perisa serta kurang manis.

Ia berbeza dengan agar-agar kering tradisional yang lebih manis serta mempunyai bentuk yang sama kerana dipotong mengikut saiz sama.

"Namun dari segi proses pembuatannya tiada beza kerana masih menggunakan agar-agar dan gula sebagai bahan utama. Apa yang membezakannya saya gunakan acuan silikon bermotif bunga-bungaan.

"Selepas agar-agar mengeras di dalam acuan, ia disusun di atas rak dan dikeringkan menggunakan pengering makanan (food dehydrator).

"Cara ini tidak bergantung kepada cahaya matahari seperti proses terdahulu yang menjemur agar-agar di bawah matahari," katanya.

Menurut Zaimah, dengan menggunakan teknologi pengering makanan, proses penyediaan dapat disingkatkan kepada 24 jam berbanding kaedah tradisional yang memakan masa sehingga enam hari, bergantung keadaan cuaca.

Permintaan terhadap agar-agar kering lebih tinggi ketika musim perayaan dan tempahan boleh mencecah 10 kilogram sehari.

"Agar-agar ini masih relevan, pelanggan berminat dengan corak dihasilkan, selain ia memenuhi cita rasa dan kebanyakan pelanggan mengulangi tempahan mereka.

"Mengusahakan agar-agar kering ini membantu saya menambah pendapatan dan mengubah peranan saya daripada seorang suri rumah kepada pengusaha produk makanan ringan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 7:01 AM