FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

PENIAGA bazar Ramadan didenda RM900 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana menjual kuih agar-agar merah dan onde-onde yang dicemari bakteria, Jun lalu.

Tertuduh, Zunaidah Sulong, 43, dari Tepoh, Kuala Nerus, turut berdepan hukuman penjara seminggu sekiranya dia gagal menjelaskan denda itu.

Majistret Noradila Ab Latif membuat keputusan berkenaan selepas Zunaidah mengaku bersalah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 6 (1)Akta Makanan 1983.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Kuala Nerus, Nooreen Azniewati Amaran.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku 5.30 petang, 4 Jun lalu selepas Pegawai Pejabat Kesihatan Kuala Nerus membuat sampel ke atas beberapa makanan di bazar berkenaan dan menghantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan.

Keputusan mendapati sampel kuih agar-agar merah dan onde-onde dijual tertuduh mengandungi bakteria jenis mikroorganisma patogen yang membahayakan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 11:53 PM