DATUK Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi penggulungan Bajet Negeri Pahang 2021, di Wisma Sri Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang
DATUK Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi penggulungan Bajet Negeri Pahang 2021, di Wisma Sri Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Pahang bersetuju elaun mereka dipotong sebanyak 10 peratus selama tiga bulan, bermula bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka membabitkan 14 Adun Barisan Nasional (BN) dan lapan Adun Pas yang mencontohi 11 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco).

Beliau mengakui gembira dan berbesar hati apabila saranan itu mendapat maklum balas positif.

"Terima kasih dan tahniah di atas persetujuan pemotongan 10 peratus elaun membabitkan 14 Adun BN dan lapan Adun Pas.

"Ini menunjukkan keprihatinan ahli yang berhormat ketika negeri melalui tempoh sukar akibat penularan wabak pandemik Covid-19 yang masih belum reda ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Pada sesi penggulungan itu, Wan Rosdy mengumumkan 15,054 pelajar bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan akan menerima RM50 seorang daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, sumbangan wang tunai itu membabitkan peruntukan berjumlah RM752,700.

"Satu berita baik khususnya kepada pelajar bakal menduduki peperiksaan SPM iaitu kerajaan negeri bersetuju menyumbangkan RM50 setiap pelajar.

"Sumbangan ini diharap dapat digunakan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM pada tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 3:25 PM