WAN Rosdy. FOTO Arkib BERNAMA
WAN Rosdy. FOTO Arkib BERNAMA
Amir Hamzah Nordin

Temerloh: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan kerajaan negeri memberi sogokan melalui pemberian bantuan dan pelbagai manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, ia dibangkitkan oleh pihak pembangkang di negeri itu yang mendakwa kerajaan negeri mengguna segala kemudahan, jentera pentadbiran dan kemudahan sedia ada demi meraih sokongan rakyat negeri untuk memilih kerajaan sedia ada untuk terus memerintah.

"Sudah dua tahun berturut-turut kerajaan negeri memperolehi pendapatan melebihi RM1 billion, apa salahnya kita pulangkan semula kepada rakyat.

"Contoh, pada hari ini kita memberi sumbangan kecil berupa peralatan alat tulis kepada 20,270 calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini membabitkan kos sebanyak RM202,700.

Beliau berkata demikian di majlis Penyerahan Alat Tulis kepada Pelajar SPM 2023 sumbangan Menteri Besar Pahang anjuran Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) yang diadakan di Dewan Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Lanchang dekat sini, hari ini.

Menurutnya, banyak bantuan antaranya seperti Bantuan Prihatin Pahang dan Program Pahang Makmur selain kerajaan negeri menyediakan beberapa bentuk inisiatif bagi membantu pelajar di Pahang untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.

"Kecemerlangan pelajar tidak lahir daripada usaha individu sahaja tanpa bantuan pendidik, usaha mereka mungkin tidak ke mana.

"Pendidik yang menunjukkan kegigihan mereka dalam memastikan anak-anak semua mendapat ilmu dengan cara yang betul untuk meraih kejayaan seperti hari ini wajar dipuji," katanya.

Selain itu, Wan Rosdy mengingatkan kepada calon SPM agar tidak lupa sokongan ibu bapa yang sentiasa berdoa, memberi semangat dan dorongan yang tidak bebelah bagi.

Seorang pelajar SMK Lanchang Muhammad Syahmi Muhd Shaiful berkata, dia bersyukur dengan keprihatinan Menteri Besar yang hadir ke sekolah itu menyampaikan set alat tulis.

"Set alat tulis ini sebagai simbolik yang sangat baik diterima oleh pelajar SPM di negeri ini meningkatkan semangat untuk terus cemerlang

"Penyampaian set alat tulis kena pada masanya ketika kami akan menduduki peperiksaan SPM akan bermula pada 30 Januari 2024 sehingga 7 Mac 2024 depan," katanya.

Rakannya pelajar Orang Asli dari Sungai Leleh, Kampung Sementeh Farah Nabila Halim berkata, dia tertarik dengan pesanan Wan Rosdy kepada pelajar supaya menghargai setiap keringat dan pengorbanan ibu bapa demi memastikan kejayaan anak-anak," katanya.

"Sebak bila mendengar pesanan 'Tok Wan' kepada kami semasa beliau berucap yang memberi motivasi kepada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 2:15 PM