MUHAMMAD Hazwan (kiri) dibawa ke lokap IPD Jelebu sebaik selesai pertuduhan kes di Mahkamah Majistret Jelebu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
MUHAMMAD Hazwan (kiri) dibawa ke lokap IPD Jelebu sebaik selesai pertuduhan kes di Mahkamah Majistret Jelebu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Akibat melanggar syarat perintah sekatan orang pengawasan polis (OPP), mekanik dijatuhi hukuman penjara selama 26 bulan oleh Mahkamah Majistret Jelebu, di sini, hari ini.

Majistret Rahimah Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Hazman Halil, 32, dari Kota Tinggi, Johor selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia pada jam 4.30 petang, 24 Oktober lalu didapati berada di luar tempat kediaman di Lot 1448 Simpang Pertang, Jelebu sebagai seorang yang ditempatkan di bawah pengawasan polis mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959, dan dikehendaki tinggal di kawasan mukim Simpang Pertang selama dua tahun bermula 20 Oktober 2020 hingga 19 Oktober 2022.

Tertuduh dikehendaki berada di rumah yang mana dia tinggal di antara jam 8 malam hingga 8 pagi.

Mengikut perintah yang dibuat oleh Lembaga Pencegahan Jenayah didapati tertuduh melanggar syarat itu kerana berada di luar rumah tempat tinggalnya tanpa kebenaran bertulis Ketua Polis Daerah Jelebu.

Oleh yang demikian tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297).

Di mahkamah sama, tertuduh juga dituduh mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri Honda RS150R milik seorang individu di sebuah bengkel di mana tertuduh bekerja.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada jam 4.15 petang bertempat di sebuah bengkel kereta di Simpang Pertang didapati mencuri sebuah motosikal milik Noran Ahmad berharga RM8,000.

Tertuduh kemudian ditangkap oleh anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Jelebu di perkarangan IPD Kota Tinggi, Johor pada 30 Oktober selepas melarikan diri bersama motosikal yang dicuri ke Kota Tinggi.

Rahimah menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atas tertuduh yang mengaku salah terhadap pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 12:34 PM