TERTUDUH yang melanggar PKP dituduh di Mahkamah Majistret Jelebu hari ini. FOTO Abnor Hamizam
TERTUDUH yang melanggar PKP dituduh di Mahkamah Majistret Jelebu hari ini. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


DUA lelaki warga India dan seorang warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara serta denda oleh Mahkamah Majistret Jelebu, hari ini, selepas didapati bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Warga India, V Paramasivam, 28, dan E Sabaridhasan, 21, yang bekerja sebagai tukang gunting rambut dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Majistret Rahimah Rahim selepas mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh ditangkap pada 10.10 malam, 30 Mac lalu, di Jalan Besar Simpang Pertang ke Kuala Klawang selepas didapati bergerak dari Pekan Baru Simpang Pertang ke pekan Simpang Pertang.

Berikutan itu kedua-dua tertuduh dituduh mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 (PPPB) yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) PPPB dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Rahimah turut menjatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM800 ke atas warga Pakistan, Abdul Wase, 30.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh ditahan semalam dalam sekatan jalan raya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu selepas didapati bergerak dari Kajang ke Kuala Klawang.

Tertuduh dituduh mengikut Peraturan 11(1) PPPB (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 2) 2020.

Ketiga-tiga tertuduh turut diarah menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Di mahkamah sama, seorang mekanik yang ditahan 5 April lalu turut dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM500 kerana melanggar PKP.

B Perumal yang beralamat dari Pulau Carey, Selangor dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku salah sebaik pertuduhan mengikut Peraturan 11(1) PPPB (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 2) 2020 dibaca jurubahasa mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 1:56 PM