GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Bekas pekerja ladang bersama seorang rakannya dijatuhi hukuman denda RM5,000 seorang oleh Mahkamah Majistret Jelebu, hari ini, kerana menghapuskan harta curi iaitu buah kelapa sawit milik syarikat perladangan di Simpang Pertang.

Majistret Rahimah Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Shahrizan Khalid, 39, dari Melaka dan K Devdu, 41, dari Simpang Pertang selepas mereka mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama pada 11 Mei hingga 6 Jun lalu ketika di Ladang Pertang Sime Darby Plantation dengan sengaja menghapuskan harta curi iaitu buah kelapa sawit milik Ladang Pertang sebanyak 40.09 tan yang diketahui sebagai harta curi.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, sebelum itu seorang staf ladang memaklumkan kepada pengurus ladang mengenai buah kelapa sawit yang dibawa keluar tanpa kebenaran.

Pengurus ladang berkenaan kemudian mengadakan soal siasat terhadap kakitangan dan dimaklumkan kerugian dialami dianggarkan RM16,000.

Rahimah turut mengarahkan kedua-dua tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 3:08 PM