Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama dengan empat kementerian bagi meningkatkan kesejahteraan kesihatan mental masyarakat khususnya dalam kalangan remaja dan belia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kerjasama itu dijalinkan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ini kerana, katanya, KKM menyedari bahawa permasalahan kesihatan mental turut dipengaruhi oleh faktor sosial dan bukan masalah kesihatan semata-mata.

"KKM sudah mengambil inisiatif mengemukakan permohonan peruntukan untuk pelaksanaan program kesihatan mental, pencegahan kecederaan dan keganasan serta penyalahgunaan substans. Sebanyak RM24 juta diluluskan semasa pembentangan Belanjawan 2021.

"Di seluruh Malaysia perkhidmatan kesihatan mental dilaksanakan di 1,001 klinik kesihatan di peringkat primer, empat institusi mental dan 66 hospital KKM," katanya pada soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok), minta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh mana KKM memperluaskan halatuju dan liputan kesihatan mental dan tidak hanya dilihat sebagai masalah kesihatan semata-mata agar dapat mewujudkan masyarakat yang penyayang, inklusif dan berdaya tahan.

Adham berkata, perkhidmatan kaunseling dan psikologi diberikan oleh seramai 148 Pegawai Psikologi (Kaunseling) KKM yang terlatih.

Selain itu, katanya, terdapat tambahan seramai 200 pegawai psikologi kaunseling yang ditempatkan di daerah seluruh Malaysia bagi memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan mental, pencegahan kecederaan dan keganasan dan penyalahgunaan substans.

"Penempatan ini akan turut menyokong perkhidmatan kaunseling oleh JKM di lapangan," katanya.

Menurutnya, beberapa program turut diadakan KKM bersama kementerian lain seperti Program Minda Sihat Sekolah yang dilaksanakan bersama KPM di 2,440 sekolah menengah dan 7,780 sekolah rendah.

Program itu, katanya, bagi mempromosikan kesihatan mental dan mengenalpasti pelajar yang mengalami masalah emosi atau tingkah laku.

"Program PEARL (Program Expresi Anak Remaja Lestari) memfokuskan kepada kemahiran daya tindak/tahan dan resilien dalam kalangan pelajar bagi menangani masalah seperti buli atau tingkah laku berisiko.

"Program Siswa Sihat (PROSIS) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) secara kolaborasi bersama KPT.

"Berkolaborasi dengan pihak KPWKM dalam pelaksanaan program Perkhidmatan Sokongan Psikososial dan menyokong Program Kafe@Teen," katanya.

Untuk Program Kafe@Teen itu, katanya, di setiap daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan kaunselor untuk memberi perkhidmatan kepada komuniti dan KKM bertindak membantu memberi konsultasi apabila kes dirujuk oleh kaunselor JKM.

"Kerjasama KKM dan KPWKM ini juga memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan mental yang holistik," katanya.

DATUK Seri Dr Adham Baba. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Dr Adham Baba. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 3:17 PM