Gambar hiasan PPR
Gambar hiasan PPR
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kes tekanan perasaan, masalah mental dan salah laku remaja serta kanak-kanak yang mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar besar atau kawasan padat sudah dikenal pasti oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Prof Psikologi Kaunseling Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata, JKM memang mempunyai data maklumat berkenaan dan setiap tahun ia dihantar KPWKM kepada Majlis Sosial Negara (MSN) untuk ditangani.

"Masalahnya, apabila maklumat itu pergi ke peringkat lebih atas, agensi-agensi lain yang terbabit seperti Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menjaga perumahan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengurus beberapa perkara seperti flat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sebagainya gagal untuk bercakap antara satu sama lain.

"Mereka hanya dengar sahaja pembentangan. Menteri sama menteri duduk mendengar, selepas itu beritahu kepada KSU (Ketua Setiausaha kementerian). kemudian KSU bagi arahan jadi lain dan sebagainya.

"Akhir sekali, 'on the ground' (di lapangan) tiada keterlibatan antara agensi ini. Masing-masing hanya mengikut kepada peraturan dan akta mereka sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian untuk mengulas kenyataan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye pada semalam yang dilaporkan berkata keadaan persekitaran di PPR yang tiada ruang terbuka untuk aktiviti fizikal dan riadah selain keadaan rumah yang sempit mengundang masalah psikologi penghuni.

Malah, Lee dipetik sebagai berkata, kajian KKM mendedahkan sebanyak 13.4 peratus golongan remaja dan kanak-kanak di PPR Lembah Klang mempunyai masalah kesihatan mental yang cenderung bunuh diri mahupun mencederakan diri.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzil berkata, kes kesihatan mental dalam kalangan golongan remaja dan kanak-kanak sebenarnya rendah berbanding dilaporkan itu.

"Kes kesihatan mental atau pun penyakit mental golongan itu sangat rendah sekitar 0.2 peratus atau 0.5 peratus, yang disebutkan 13.4 peratus itu mereka menggunakan alat ukuran yang salah.

"Apabila alat ukuran salah, kita akan dapat definisi yang salah, kita akan dapat figure yang salah.

"Sebenarnya 13.4 peratus itu adalah mereka yang ada masalah kemurungan, masalah keresahan, masalah kesejahteraan hidup sebenarnya. Bukannya masalah penyakit mental.

"Jadi, jumlah mereka yang ada masalah penyakit mental dan ada kecenderungan untuk bunuh diri sangat kecil iaitu sekitar 0.2 peratus atau 0.5 peratus sahaja," katanya.

Justeru, katanya, masyarakat tidak perlu panik dan terlalu risau sebab kelompok kecil berkenaan boleh diuruskan dalam pelbagai program psikososial iaitu psikologi dan sosiologi.

Selain itu, katanya, pendekatan baharu memaksimakan kepuasan penghuni perlu dipergiatkan lagi kerana pendekatan lama hanya untuk memastikan golongan miskin mempunyai rumah seperti PPR tanpa memberi fokus psikososial ternyata antara faktor lemahnya generasi pewaris.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 3:28 PM