OPERASI perniagaan di pantai Teluk Kemang, Port Dickson terpaksa ditutup yang sebelum ini menjadi tumpuan para pelancong tempatan dan luar negara berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak penyakit berjangkit COVID-19 yang bermula dari 18 Mac lalu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak sebulan lalu sehingga kini. FOTO Adzlan Sidek
OPERASI perniagaan di pantai Teluk Kemang, Port Dickson terpaksa ditutup yang sebelum ini menjadi tumpuan para pelancong tempatan dan luar negara berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak penyakit berjangkit COVID-19 yang bermula dari 18 Mac lalu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak sebulan lalu sehingga kini. FOTO Adzlan Sidek
Mohd Khidir Zakaria


PENIAGA di pantai Port Dickson melahirkan kebimbangan berikutan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, mereka hilang sumber pendapatan.

Peniaga di sepanjang kawasan peranginan popular yang ditemui bimbang jika PKP yang kini menjadi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini berlanjutan, ratusan peniaga akan kehilangan pendapatan.

Peniaga kedai minuman di pantai Batu 8, Teluk Kemang, Norizati Zainal, 35, berkata dia akan memulakan perniagaan biarpun kekurangan pengunjung yang datang ke pantai untuk beriadah.

"Sudah lebih dua bulan saya tidak berniaga dan yang paling terkesan ialah beberapa orang pekerja yang juga terdiri dari adik beradik saya sendiri kerana kami hanya bergantung kepada kedatangan pengunjung di kawasan pantai ini.

"Bagi saya mungkin masih boleh bertahan kerana suami masih bekerja sebagai kakitangan di Majlis Daerah Port Dickson (MPPD), tetapi bagaimana dengan nasib pekerja yang lain sedangkan mereka bergantung kepada gaji hasil perniagaan di sini," katanya ketika di temui di gerainya di tepi pantai Teluk Kemang semalam.

Katanya, sejak PKPB dilaksanakan, beberapa peraturan baru diperkenalkan dan peniaga sudah boleh berniaga namun perlu ikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan.

"Mungkin peringkat awal kami akan terasa kekurangan pengunjung sebab pantai masih ditutup untuk kegiatan riadah.

"Buat masa sekarang saya yang akan memulakan dahulu membuka gerai di pantai ini, mungkin selepas ini semakin ramai yang mula berniaga kerana ini sahaja punca pendapatan kami.

"Nasib baiklah kerajaan banyak membantu seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang sedikit sebanyak membantu sekurang-kurangnya dapat buat bayar hutang motosikal," katanya.

Bagi pegusaha aktiviti bot pisang, Hanif Sharif, 39, berkata, sejak perniagaannya terhenti akibat pandemik Covid-19, semua empat bot dan bot pisang hanya tersadai di rumahnya tidak jauh dari kawasan pantai.

"Saya ada sembilan pekerja yang membantu menjalankan perniagaan ini, semuanya mengeluh hilang pendapatan. Kali terakhir saya sempat beri mereka gaji sebanyak RM200 seorang, penghujung Mac lalu kerana pendapatan kami bergantung hasil dari sektor pelancongan.

"Hampir 10 tahun saya mengambil alih perniagaan ini daripada orang tua, baru kini terasa cabaran yang besar kerana kami bergantung kehadiran pengunjung ke pantai ini," katanya.

Hanif berkata, dia menjangkakan sepanjang tahun ini perniagaan bot pisang masih tidak boleh beroperasi dan berharap supaya masalah penularan wabak Covid-19 segera berakhir.

"Jika saya mahu mulakan kembali perniagaan ini, modal sekurang-kurangnya RM10,000 perlu ada khusus membaiki enjin bot dan juga membeli bot pisang lain kerana yang lama sudah rosak atau tamat tempoh.

"Memang saya banyak rugi tetapi masalah ini bukan di negara kita sahaja, ia masalah seluruh dunia. Cuma saya berharap ia segera berakhir dan kita dapat hidup mencari rezeki seperti dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 3:56 PM