Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Penganut Hindu di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB) dibenarkan mengikuti upacara sembahyang pada hari pertama Deepavali sahaja.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran bagi acara itu juga perlu disusuli dengan pelaksanaan dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 yang ketat.

Sementara penganut di kawasan PKP Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan mengikuti upacara sembahyang di rumah ibadat.

"Pergerakan merentas mukim atau daerah atau negeri daripada kawasan PKPB dan PKPD bagi tujuan balik kampung adalah tidak dibenarkan.

"Bagi (pengurusan) rumah ibadat (kuil), mereka perlu menyediakan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan dan saringan gejala berkaitan Covid-19 seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.

"Kehadiran direkod menggunakan aplikasi MySejahtera atau di dalam buku kehadiran, manakala penganut yang menghidap penyakit kronik, warga emas dan kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun tidak digalakkan hadir," katanya pada sidang media perkembangan PKP sempena Covid-19 di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, upacara sembahyang hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP Pembukaan Rumah Ibadat yang dikeluarkan sebelum ini dan tidak boleh melebihi 30 orang pada satu-satu masa, tertakluk kepada keluasan ruang rumah ibadat dengan penjarakan fizikal.

"Sesi sembahyang perlu diadakan bermula jam 7.00 pagi sehingga jam 12.00 tengahari dengan pembahagian sebanyak lima sesi sahaja (30 minit setiap sesi) dan diselangi dengan operasi sanitasi selama 30 minit, sebelum memulakan sesi baharu.

"Manisan perlu diagihkan secara berbungkus kepada penganut dan terus bersurai selepas selesai upacara sembahyang," katanya.

Ismail Sabri berkata, bagi sambutan perayaan di rumah kediaman teres dalam kalangan keluarga terdekat pula tidak boleh melebihi 20 orang pada satu-satu masa.

"Manakala bagi rumah kediaman strata dengan keluasan kurang daripada 1500 kaki persegi, tidak boleh melebihi 10 orang dan bagi keluasan melebihi 2500 kaki persegi tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa.

"Aktiviti jualan atau perniagaan hanya di premis yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau mana-mana pihak berkuasa lain sahaja tetapi digalakkan menjual secara dalam talian," katanya.

Menurutnya, bagi SOP di kawasan PKPD, kerajaan hanya membenarkan sambutan perayaan bagi seisi keluarga dalam rumah yang sama dengan memastikan penjarakan fizikal, kebersihan diri dan lain-lain arahan dilaksana.

"Aktiviti ziarah di kawasan PKPD adalah tidak dibenarkan, begitu juga jualan dan perniagaan," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 6:08 PM