Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Perayaan Deepavali di negeri ini disambut secara norma baharu, tetapi dalam suasana penuh kemeriahan, hari ini.

Pegawai Khas Hal Ehwal Agama Bukan Islam kepada Menteri Besar, Dr Balachandran G Krishnan berkata, sambutan Deepavali bermula apabila penganut Hindu mengunjungi kuil untuk aktiviti keagamaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Penganut Hindu memasuki kawasan kuli untuk melakukan aktiviti keagamaan dengan mengimbas aplikasi MySejahtera dan sentiasa memakai pelitup muka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Balachandran yang juga Timbalan Pengerusi Kuil Kailasa Nathar Alayam berkata, kebanyakan penganut mengambil kesempatan pulang ke kampung untuk menyambut Deepavali bersama keluarga.

Menurutnya, ia berikutan mereka tidak berkesempatan bersama ahli keluarga sejak lebih setahun lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Penganut Hindu yang tidak pulang ke kampung hanya menyambut perayaan Deepavali secara sederhana dan mengadakan rumah terbuka hanya untuk sahabat handai terdekat," katanya.

PENGANUT Hindu sedang berdoa ketika melakukan upacara sembahyang sempena perayaan Deepavali di Kuil Kasilasa Nathar Alayam, di sini, hari ini. FOTO Baharom Bakar
PENGANUT Hindu sedang berdoa ketika melakukan upacara sembahyang sempena perayaan Deepavali di Kuil Kasilasa Nathar Alayam, di sini, hari ini. FOTO Baharom Bakar

Sementara itu, tinjauan di kuil Kailasa Nathar Alayam di Jalan Air Jernih, di sini, mendapati penganut Hindu melakukan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan melakukan imbasan sebelum memasuki dewan sembahyang.

Selepas selesai melakukan aktiviti keagamaan, mereka tidak berhimpun, sebaliknya terus menaiki kenderaan untuk pulang.

Pengurusan kuil juga tidak menyediakan jamuan makan dan minum seperti sambutan Deepavali sebelum berlakunya penularan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 12:47 PM