Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Burung ruak-ruak, daun, mas belukar, murai batu, sambar ranting, lekir, kelicap kunyit, rimba dan merbah antara dirampas dalam siri serbuan Operasi Khazanah (Op Khazanah) pada Januari hingga kelmarin.

Operasi dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu berjaya menahan tiga lelaki berusia 27 hingga 49 tahun dalam tangkapan berasingan di Setapak, di sini.

Kegiatan kumpulan yang disyaki melakukan penyeludupan dan pemerdagangan pelbagai jenis spesies burung dilindungi itu dibongkar hasil maklumat awam serta risikan.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abd Halim berkata, bertindak atas siasatan pihaknya menyerbu satu premis dijadikan pusat penyimpanan burung di Senggarang, Johor, 1 Januari lalu.

"Hasil serbuan itu, sebanyak 1,825 burung dilindungi iaitu murai kampung dan murai batu dirampas.

"Pada 24 Ogos lalu, pasukan yang menjalankan siasatan lanjut berjaya menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam aktiviti pemerdagangan burung di satu lokasi di Setapak dan merampas 90 burung dilindungi iaitu spesies ruak-ruak, murai batu, serindit, puling, daun, lekir, kelicap kunyit dan ciak lilin.

"Penahanan suspek itu kemudian membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek di Setapak pada kelmarin dan merampas 63 burung," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Beliau berkata demikian pada sidang media Op Khazanah di Pejabat Perhilitan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Penguatkuasa Perhilitan, Dr Pazil Abdul Patah.

Muhammad berkata, semua 1,978 burung membabitkan 16 jenis spesies burung dilindungi yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM279,960.

"Berdasarkan siasatan unggas berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan dan Indonesia kerana permintaannya yang tinggi dengan harga jualan antara RM500 hingga RM2,000 bergantung pada bunyi ciapan serta panjang ekor.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada ia didalangi sindiket tertentu atau individu yang ditahan itu sendiri yang memikat burung berkenaan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 3:36 PM