PENDUDUK di Taman Tan Sri Dato Manickavasagam membasuh pinggan selepas bekalan air kembali pulih sekitar 6.30 pagi, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
PENDUDUK di Taman Tan Sri Dato Manickavasagam membasuh pinggan selepas bekalan air kembali pulih sekitar 6.30 pagi, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: "Jangan anggap masalah pencemaran sungai di negeri ini sebagai isu kecil. Harap Kerajaan Negeri peka dengan keluhan rakyat yang kerap kali terputus bekalan air," ujar peniaga kedai runcit, D Devarajah, 53, yang juga penduduk Taman Tan Sri Dato Manickavasagam, di sini.

Devarajah berkata, dia kesal dengan masalah bekalan air yang kerap kali terputus hingga menyukarkannya dalam menjalankan kehidupan seharian.

"Sudah beberapa kali masalah air berlaku dalam tahun ini. Bila ia berlaku, urusan seperti membasuh baju dan pinggan mangkuk kotor tergendala.

"Justeru, saya berharap gangguan seperti ini tidak berulang kembali kerana ketiadaan air akan mengeruhkan lagi keadaan lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya ketika ditemui wartawan tadi

Dia yang berniaga sejak 18 tahun lalu turut berharap Kerajaan Negeri memantau dan memastikan sumber air tidak mengalami gangguan pembuangan sisa industri atau berkaitan yang mencemarkan alam.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sambutan Deepavali, Devarajah berkata, dia sekeluarga tidak menyambut perayaan itu berikutan menghormati ahli keluarga terdekat yang meninggal dunia pada Disember tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, E Hanisha, 25, berkata, dia bersyukur bekalan air kembali pulih pada 6.30 pagi tadi selain tidak sabar untuk menyambut Deepavali bersama keluarga, Sabtu ini.

"Bekalan air mula tiada sekitar jam 2 petang kelmarin. Jadi, persiapan tergendala seketika kerana ketiadaan air dan menyukarkan saya sekeluarga untuk membersihkan rumah.

"Pendapat saya, agensi terbabit seharusnya memaklumkan ketiadaan air lebih awal kerana tidak semua penduduk memiliki telefon pintar.

"Kalau (penduduk) yang guna telefon pintar, mereka akan tahu ketiadaan air melalui aplikasi Air Selangor. Bagaimana pula dengan penduduk yang tiada (telefon pintar)?," katanya.

Justeru, beliau berharap Kerajaan Negeri ambil tindakan tegas ke atas pelaku yang sengaja mencemarkan sungai dan menyusahkan jutaan pengguna.

Media melaporkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas berikutan pencemaran bau seakan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor, semalam.

Henti tugas keempat-empat LRA itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 5:17 PM