ORANG ramai beratur dan mengambil air di Pusat Khidmat Setempat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd yang di buka di hadapan Dewan Bola Tampar Majlis Bandaraya Shah Alam. FOTO Aziah Azmee
ORANG ramai beratur dan mengambil air di Pusat Khidmat Setempat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd yang di buka di hadapan Dewan Bola Tampar Majlis Bandaraya Shah Alam. FOTO Aziah Azmee
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Air Selangor menasihatkan pengguna mendapatkan maklumat rasmi mengenai situasi semasa masalah gangguan bekalan air menerusi hebahan rasmi atau saluran interaksi Air Selangor.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan bekalan air itu.

"Sehingga kini, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi semula.

"Ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk sehingga 8.30 malam tadi masih mengesan pencemaran pada tahap satu TON dan LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada pada tahap kosong TON.

"Justeru, Air Selangor menasihatkan pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor seperti Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Katanya, pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau App Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.

Terdahulu, tersebar di Facebook kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang menyatakan pencemaran bau itu sudah terkawal dan LRA kembali beroperasi pada 8 malam.

Sementara itu, pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor awal pagi semalam menjejaskan bekalan air di tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor

Gangguan membabitkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 9:49 PM