GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Petaling Jaya: Tiga lelaki warga Bangladesh dan enam wanita warga Vietnam masing-masing didenda RM500 atau penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah pub.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap dua pembantu pub berkenaan Jamaluddin Mohamad Jamil, 20, dan Abdul Amin Abdullah, 27, serta enam pelanggan pub iaitu warga Vietnam iaitu Tran Thi Phuong, 32; Nguyen Nu Nguyet Anh, 24; Pham Thi Truc Giang, 24; Nguyen Thi Ngoc Huyen, 30; Luu Le Kieu, 28, dan Mai Thi Thu Hien, 29 tahun.

Kesemua mereka tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit-penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Sementara itu, seorang lagi pembantu pub sama warga Bangladesh, Hala Ali, 25, didenda RM500 atau penjara 14 hari selepas mengaku bersalah menganjurkan aktiviti terlarang iaitu pusat hiburan yang juga kesalahan di bawah Peraturan 3, peraturan sama.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Verve Bar, Bandar Puteri, Puchong, dekat sini pada 9.30 malam, 30 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.

Peguam Chui Jing Hong yang mewakili lapan individu itu, tidak termasuk Hala, memohon kepada mahkamah supaya kesemua anak guamnya dikenakan hukuman berbentuk denda minimum.

"Mereka sudah direman selama 12 hari dan tempoh itu cukup memberi kesedaran kepada mereka. Selain itu, pengakuan salah mereka juga menjimatkan masa mahkamah," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

Mereka kemudian membayar denda itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 3:33 PM