FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

AKIBAT degil dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini sudah memasuki fasa ketiga, 21 lelaki dihukum penjara dan didenda oleh Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini kerana leka berparti dan berjudi.

Kesemua 13 lelaki yang berhibur itu, dikenakan hukuman penjara tiga hari dan denda RM1,000 atau jika gagal membayarnya, penjara sebulan manakala lapan lagi yang bermain judi, dihukum penjara empat hari dan denda RM1,500 atau penjara sebulan.

Majistret Lau Eric menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua mereka membuat pengakuan bersalah.

Kesemua 13 lelaki berusia 21 hingga 25 tahun itu didakwa berhimpun bagi maksud sosial dengan berhibur yang melanggar Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di Mansion One, Jalan Pangkor, Georgetown pada 12.30 tengah malam, semalam.

Pertuduhan mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar, manakala 13 tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Lapan lagi lelaki berusia 35 hingga 63 tahun dituduh bermain judi di dalam sebuah rumah perjudian terbuka, yang melanggar Peraturan 6(1) peraturan sama di sebuah blok di Taman Lip Sin, Lebuh Nipah Mukim 13, Georgetown pada 5.30 petang, 12 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin manakala peguam R Sankra Krishna mewakili lapan tertuduh itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 7:38 PM