SUPERINTENDAN Azhar Hashim (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan empat senapang buatan sendiri yang dirampas dalam tiga siri tangkapan di daerah Kulim. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SUPERINTENDAN Azhar Hashim (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan empat senapang buatan sendiri yang dirampas dalam tiga siri tangkapan di daerah Kulim. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Polis merampas tiga senapang patah dan senapang angin buatan sendiri dengan penahanan tiga individu dalam serbuan berasingan, Isnin dan Selasa lalu.

Seorang daripada tiga suspek yang ditahan adalah bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, tangkapan pertama jam 2.30 petang, sepasukan polis yang sedang menjalankan tugas di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Baru Labu Besar, Sungai Kob, terserempak dengan lelaki berusia 30 tahun memegang senjata disyaki senapang patah.

Katanya, suspek yang terkejut sebaik menyedari kehadiran polis melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

"Suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap. Pemeriksaan fizikal terhadap suspek yang juga penganggur itu menemui selaras senapang beserta kelongsong peluru, satu beg silang kelabu yang mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 0.61 gram, tiga peluru hidup jenama Remington 12 GA dan satu batang besi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, hari ini.

Azhar berkata, susulan tangkapan pertama itu, pihaknya menahan seorang lagi suspek berusia 54 tahun di Kampung Kuala Tawar, Sungai Kob pada 4 petang, Selasa lalu.

"Hasil pemeriksaan menemui dua laras senapang patah buatan sendiri yang disembunyikan dalam almari. Suspek mulanya enggan bekerjasama sehingga anggota polis menemui beberapa butir peluru tabur di bawah tilam dalam bilik tidurnya," katanya.

Azhar berkata, pihaknya kemudian menahan seorang bekas anggota Rela berusia 83 tahun di rumahnya di Kampung Bukit Chempedak, Sungai Kob pada 6 petang hari sama.

"Dalam serbuan itu kita menemui selaras senapang patah dan beberapa butir peluru. Hasil siasatan mendapati, suspek mempunyai lesen milikan senjata api (Lesen A) namun turut ditangkap dan senjata serta peluru yang ditemui dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, suspek pertama dan kedua mempunyai rekod lampau kes jenayah seperti culik, pecah rumah, curi dan dadah.

"Hasil soal siasat terhadap suspek pertama mendapati dia membeli senapang patah itu daripada suspek kedua dengan harga RM300 dua tahun lalu manakala suspek kedua pula membeli dua senapang patah buatan sendiri dan peluru itu dari suspek ketiga," katanya.

Azhar berkata, semua suspek mengaku memiliki senjata itu yang bertujuan untuk menembak haiwan liar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa permit dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru.

"Selain itu, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 2:48 PM