DR Noor Hisham pada sidang media harian situasi terkini jangkitan Covid-19. FOTO Luqman Hakim Zubir
DR Noor Hisham pada sidang media harian situasi terkini jangkitan Covid-19. FOTO Luqman Hakim Zubir
Muhaamad Hafis Nawawi dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Malaysia akan terus memperkukuhkan penggunaan kaedah tindakan kesihatan awam bagi mengurangkan nilai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R naught (RO) kepada sekurang-kurangnya di bawah 1.0.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keberkesanan kaedah itu dipercayai selepas mengambil kira kejayaannya membendung kes penyakit berjangkit seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan gelombang kedua Covid-19.

Katanya, jika Malaysia mampu memperkukuhkan tindakan kesihatan awam pada gelombang ketiga ini, negara berpotensi menurunkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 antara 1.0 hingga 0.5 sekali gus penurunan kes harian dapat disaksikan dalam tempoh terdekat.

"Kita harapkan untuk menggunakan kaedah ini (kesihatan awam) tetapi yang paling penting kita perlukan kerjasama semua pihak untuk putuskan rantaian Covid-19 dalam negara.

"Kalau boleh duduk rumah, jika terpaksa keluar patuhilah prosedur operasi standard (SOP) supaya kita dapat putuskan jangkitan dan tidak beri peluang dan ruang kepada virus merebak.

"Harap dalam tempoh tiga minggu kita berperang dengan Covid-19 ini, dapat tunjukkan hasil yang baik dan menurunkan kadar kebolehjangkitan 2.2 kepada kurang 1.0," katanya dalam sidang media hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kawalan sempadan serta kuarantin wajib ke atas mereka yang pulang dari luar negara menjadi keutamaan dan penting untuk mengesan jangkitan awal seterusnya mengelak risiko penyebaran virus dalam komuniti.

"Kalau kita lihat hari pertama lagi kita sudah memperketatkan kawalan sempadan dan mereka pulang dari luar negara perlu melakukan ujian Covid-19 dan akan kuarantin selama 14 hari.

"Setakat 3 April hingga 10 November 2020, seramai 1,232 individu dan 25 peratus daripada angka ini (dikesan) positif hari ke-13.

"Jadi, misalnya kes dilaporkan di Kemboja pada hari pertama mungkin negatif tetapi kita perlu kuarantin mereka untuk 14 hari ataupun semasa kuarantin mereka ada gejala kalau kita kita lakukan saringan dan ada juga didapati positif.

"Inilah pentingnya kita kuarantin mereka (terutama) kalau syak mereka pulang dari negara berisiko tinggi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 8:01 PM