Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Sri Ayu Kartika Amri


BEKAS pesakit Covid-19 yang dibenarkan discaj daripada wad dan fasiliti kesihatan, hanya boleh menerima kunjungan saudara dan kenalannya selepas melalui proses kuarantin di rumah selama 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang belum melepasi kuarantin 14 hari di rumah, tidak dibenarkan berjumpa sesiapa.

"Pesakit yang sudah sembuh jika mereka dikesan negatif dan kita akan discaj pesakit terbabit, tetapi mereka perlu dikuarantin untuk 14 hari di rumah selepas keluar dari wad.

"Dalam tempoh 14 hari itu, kalau boleh jangan ada pelawat yang jumpa pesakit. Selepas 14 hari di rumah barulah mereka boleh berjumpa pelawat, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kita tak akan discaj pesakit sehingga ujian menunjukkan negatif, jadi kita amalkan kuarantin 14 hari di rumah sebelum mereka berjumpa atau bergaul dengan ahli keluarga," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Mengenai perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata, pengawalan sempadan negara perlu diperketatkan bagi terus mengekang penularan Covid-19.

Beliau berkata, kawalan ketat itu perlu dilaksanakan berikutan kerajaan membawa pulang pelajar dan pekerja dari luar negara.

"Paling penting adalah memeriksa kesihatan, membuat saringan dan kuarantin mereka yang baru pulang dari luar negara ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 5:54 PM