PETUGAS KKM memakaikan gelang merah jambu kepada seorang penduduk Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi Pantai Dalam selepas membuat saringan Covid-19 pada 9 Oktober. FOTO Bernama
PETUGAS KKM memakaikan gelang merah jambu kepada seorang penduduk Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi Pantai Dalam selepas membuat saringan Covid-19 pada 9 Oktober. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) akan berusaha memastikan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) tidak mencecah 2.2 kerana kemudahan kesihatan KKM mungkin tidak mampu menampung jumlah pesakit Covid-19 jika Rt mencecah paras itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, nilai Rt pada ketika ini berada pada kadar 1.3 dan ia berjaya dilandaikan daripada 2.3 ketika permulaan gelombang ketiga pandemik itu melanda negara.

"Jadi, dengan segala tindakan kawalan kesihatan awam di lapangan kita berharap kes dapat menurunkan Rt kepada 0.3 pada 31 Oktober, maka kita berjaya melandaikan lengkuk.

"Tetapi kalau keadaan sekarang ini, 1.3 Rt berjalan, kita akan lihat peningkatan kes secara perlahan sehingga 31 Oktober. Apa yang cuba kita elakkan ialah R-naught meningkat kepada 2.2 dan kita akan mendapat peningkatan kes secara mendadak, mungkin fasiliti KKM, hospital dan juga pusat kuarantin tidak mampu menampung pesakit yang akan datang," katanya dalam sidang media secara maya yang disiarkan dalam Facebook KKM hari ini.

Justeru katanya, KKM akan terus memperhebat aktiviti kesihatan awam termasuk pengawasan, pengesanan kontak, ujian menggunakan RTK-Antigen dan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RTPCR), pengasingan kes serta rawatan di pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah selain kes di hospital.

Katanya, selain itu langkah kerajaan mempergiatkan kawalan sempadan, kawalan merentas daerah dan menggiatkan aktiviti pengesanan kontak rapat dan kes yang positif juga dapat mengelak mengawal nilai Rt terbabit.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini melonjak kepada 561 kes berbanding 374 kes semalam, dengan menyaksikan dua kematian dicatatkan hari ini.

Selain itu, lima kluster baharu dikenal pasti iaitu tiga di Sabah manakala masing-masing satu kluster di Wilayah Persekutuan Labuan dan Selangor.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 9:54 PM