GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Strategi yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang gelombang ketiga penularan pandemik Covid-19 di negara ketika ini mula menampakkan kejayaan.

Namun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, strategi keselamatan seperti sekatan dan strategi kesihatan tidak mampu memutuskan keseluruhan rantaian Covid-19 kecuali dibantu rakyat.

Menurutnya, kes positif Covid-19 kini mencatatkan pengurangan iaitu 659 kes semalam berbanding 1,240 kes tertinggi yang dicatatkan pada 26 Oktober lalu

"Justeru, saya menyeru kepada rakyat. Kita ke arah kejayaan (putuskan rantaian penularan Covid-19).

"Kita boleh berjaya jika rakyat membantu kerajaan dengan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan.

"Oleh itu amalkan kawalan kendiri untuk memastikan diri, keluarga dan masyarakat sekitar kita terus kekal selamat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-229 dan hari ke-145 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, statistik itu amat menggembirakan dan beliau percaya ia hasil tindakan yang diambil kerajaan.

"Strategi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) contohnya dari segi membuat saringan secara bersasar begitu juga dengan sekatan yang kita lakukan untuk kurangkan pergerakan.

"Apabila kita sekat pergerakan ia mampu untuk memutuskan rantaian Covid-19. Strategi kita nampak semakin berjaya.

"Dulu kita pernah berjaya satu ketika dan naik semula gelombang ketiga. Sekarang ini dengan strategi dilakukan, sudah nampak kita sedang berjaya," katanya.

Semalam, Malaysia turut mencatatkan bilangan kes pulih Covid-19 tertinggi iaitu sebanyak 1,000 kes.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 6:24 PM