KUWEI Awi diusung kru Unit Udara JBPM turun daripada helikopter untuk dikejar ke HGM, pagi ini. FOTO Ramli Ibrahim
KUWEI Awi diusung kru Unit Udara JBPM turun daripada helikopter untuk dikejar ke HGM, pagi ini. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan membawa wanita Orang Asli yang mahu bersalin anak ke-10 ke Hospital Gua Musang (HGM) pagi ini.

Kuwei Awi, 35, yang tinggal di Kampung Lalok, Pos Bihai sudah tiga hari menanggung kesakitan untuk bersalin dan keadaan bayi yang dikandungnya juga songsang.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak berhubung perkara itu pada jam 5 petang semalam.

Menurutnya, kru penerbangan berlepas dari Pangkalan Bertam, Pulau Pinang pada 9.15 pagi ini dengan helikopter.

"Helikopter itu kemudian mendarat di Kampung Lalok, Pos Bihai untuk mengambil wanita terbabit pada 10.30 pagi.

"Selepas mengambil pesakit, penerbangan mendarat dengan di Perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada 10.56 pagi sebelum dikejarkan ke HGM dengan jentera EMRS bomba," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, wanita itu berada dalam keadaan stabil turut diiringi suaminya, Hassan Dollah, 38.

"Kita memberi keutamaan penerbangan ihsan itu bagi menyelamatkan pesakit Orang Asli di pedalaman berikutan keadaan perhubungan jalan balak rosak teruk.

"Malah, sekarang hujan musim tengkujuh sudah bermula menyebabkan jalan menghubungkan kampung mereka berselut dan berlumpur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 6:15 PM