WANITA Orang Asli yang terperangkap di Pos Gob dibawa oleh helikopter Unit Udara JBPM sebelum dikejarkan ke HGM. FOTO RAMLI IBRAHIM
WANITA Orang Asli yang terperangkap di Pos Gob dibawa oleh helikopter Unit Udara JBPM sebelum dikejarkan ke HGM. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan bagi membawa tiga wanita Orang Asli yang mahu bersalin ke Hospital Gua Musang (HGM).

Ia berikutan jalan perhubungan utama di Kampung Lalok, Pos Gob rosak teruk dan menyebabkan mereka terperangkap kerana tidak mempunyai laluan untuk ke bandar.

Wanita Orang Asli terbabit ialah Rajem Anjang, 27; Saiyana Embah, 24, dan Subaidah Angah, 26 yang diiringi suami masing-masing.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata, pertama kali membawa tiga wanita Orang Asli hendak bersalin sekaligus.

Katanya, penerbangan itu menggunakan Crew Agusta A109E (9M-BOB) berlepas dari Subang pada 9.30 pagi sebelum mendarat di Kampung Lalok, Pos Gob 10.45 pagi.

"Kami menerima permohonan bantuan penerbangan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak, 6 petang semalam.

"Permohonan itu bagi menyelamatkan tiga wanita Orang Asli yang terperangkap di Kampung Lalok, Pos Gob kerana perhubungan jalan balak rosak teruk.

"Alhamdulillah, mereka bertiga dapat diselamatkan selepas dilakukan penerbangan segera walaupun cuaca berkabus tebal," katanya, di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata, penerbangan membawa tiga wanita Orang Asli itu kemudian mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada 11 pagi.

Katanya, mereka dalam keadaan stabil dan dikejarkan ke HGM menggunakan jentera EMRS disediakan JPBM.

Penerbangan itu diketuai Juruterbang Timbalan Penguasa Bomba ii, Mohd Faizal Abd Latif dan dibantu Penolong Juruterbang, Penolong Penguasa Bomba, Fazli Ezham Jamil.

Sementara itu, beliau berkata, penerbangan khusus untuk menghantar bantuan makanan kepada 172 keluarga Orang Asli di Pos Gob, semalam tamat pada 2.30 petang.

"Dua penerbangan menggunakan helikopter Crew Agusta AW189 membawa 400 kilogram bantuan makanan Orang Asli terperangkap di pos terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 1:06 PM