BELUDU diusung melalui lorong bersemak di Kampung Lalok, Pos Bihai untuk menaiki helikopter ke HGM. FOTO Ihsan JBPM
BELUDU diusung melalui lorong bersemak di Kampung Lalok, Pos Bihai untuk menaiki helikopter ke HGM. FOTO Ihsan JBPM
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan membawa wanita Orang Asli yang mengalami bengkak kaki dan pinggang ke Hospital Gua Musang (HGM), hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata, pesakit dikenali Beludu Asop, 22, yang tinggal di Kampung Lalok, Pos Bihai di pedalaman daerah ini.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak pada 3.40 petang semalam dan kru Agusta A109E berlepas dari Pangkalan Subang pada 12.50 tengah hari tadi.

"Penerbangan dikendali juruterbang, Kapten Roslan Aziz yang dibantu Penolong Juruterbang, Penolong Penguasa Bomba Fazli Ezham Jamil mendarat di kampung pesakit pada 2.10 petang.

"Pesakit ditemani adiknya Ramlah yang berumur 18 tahun," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, helikopter mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada 2.40 petang dan pesakit kemudiannya dihantar ke HGM dengan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 4:02 PM