Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis belum menerima laporan berhubung tindakan provokasi seorang lelaki yang dikatakan mabuk terhadap anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, beliau sudah menghubungi DBKL untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

"Kami masih menunggu laporan dibuat oleh mana-mana pihak yang terbabit dalam kes ini termasuk anggota penguat kuasa DBKL berkenaan.

RAKAMAN melakukan provokasi terhadap anggota penguat kuasa DBKL di Pasar Borong Kuala Lumpur, kelmarin. FOTO ihsan pembaca
RAKAMAN melakukan provokasi terhadap anggota penguat kuasa DBKL di Pasar Borong Kuala Lumpur, kelmarin. FOTO ihsan pembaca

"Berdasarkan video yang tular, memang terdapat kesalahan dilakukan namun siasatan harus dijalankan secara menyeluruh membabitkan kedua-dua pihak," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi dua minit 28 saat menunjukkan seorang lelaki melakukan provokasi terhadap anggota penguat kuasa DBKL tular sejak semalam.

Difahamkan anggota penguat kuasa mengekori lelaki berusia lingkungan 50-an itu selepas melihat kenderaan dipandunya memasuki kawasan pasar borong itu secara laju serta melulu.

Anggota penguat kuasa kemudian merakam video gelagat lelaki berkenaan menyebabkan dia berang lalu menunjukkan isyarat lucah.

Anggota penguat kuasa itu juga mengeluarkan satu notis kompaun kesalahan mengikut Seksyen 23 (1) (c) Undang-Undang Kecil Pasar Borong (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2002 atas kesalahan menghalang lalu-lintas kenderaan di pasar borong berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 3:40 PM