Mohd Roji Kawi


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum membincangkan soal pemilihan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang dijangka diadakan penghujung bulan ini atau awal bulan depan.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, masih terlalu awal untuk membincangkannya kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru saja dibubarkan, Rabu lalu.

Bagaimanapun katanya, perbincangan mengenai agihan kerusi antara empat parti komponen yang membentuk GPS itu sudah diadakan namun ia masih di peringkat awal.

"Tunggulah dulu...DUN pun baru saja dibubarkan," katanya pada sidang media khas berhubung pembubaran DUN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini

Empat parti tempatan yang membentuk GPS ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Abang Johari berkata, pembubaran DUN Sarawak kali ini berlaku dalam situasi yang agak unik kerana ia serentak dengan pengumuman penamatan Proklamasi Darurat Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Rabu lalu.

Malah, beliau adalah Ketua Menteri Sarawak pertama menghadapi situasi itu sejak 1963.

Menurutnya, walaupun umum sudah mengetahui DUN Sarawak dibubarkan dua hari lalu, pihaknya akan memaklumkannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Speaker DUN (Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar) akan membuat pemakluman secara rasmi, kerana itu adalah prosedurnya.

"Sekarang, terpulang kepada SPR untuk menentukan tarikh pilihan raya dan kita akan menyerahkan kepada rakyat Sarawak untuk memberikan mandat baharu bagi mentadbir negeri ini," katanya.

ABANG Johari pada sidang media khas di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Bapa Malaysia. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari pada sidang media khas di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Bapa Malaysia. FOTO Nadim Bokhari

Sebelum Perintah Darurat seluruh negara ditamatkan pada 11 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak bermula 2 Ogos lalu sehingga 2 Februari tahun depan berikutan ancaman kepada kesihatan awam disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Berikutan pengisytiharan ini, PRN-12 yang sepatutnya diadakan selepas tempoh DUN Sarawak tamat pada 7 Jun lalu ditunda ke tarikh lain selepas Proklamasi Darurat itu ditamatkan.

Abang Johari berkata, selepas penamatan Proklamasi Darurat itu, pilihan raya harus diadakan dalam tempoh 60 hari bagi menjamin hak rakyat Sarawak untuk memilih kerajaan selaras dengan amalan demokrasi berparlimen.

Menurutnya, penamatan perintah darurat oleh Yang di-Pertuan Agong itu selaras dengan peruntukan dalam Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 selepas baginda berunding dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

"Dalam membuat keputusan ini, kami turut menelitinya dengan pihak berkuasa kesihatan dan pihak berkepentingan lain agar pilihan raya diadakan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kadar vaksinasi Covid-19 juga sudah mencapai tahap yang boleh diterima oleh pihak berkuasa agar pilihan raya dijalankan dengan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 11:09 AM