Mohd Roji Kawi

Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini ibarat gadis cantik sehingga ramai yang berusaha 'menguratnya'. Itu kiasan Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Abang Openg, mengenai usaha semua pakatan parti politik di Semenanjung yang cuba memujuk GPS menyertai mereka untuk membentuk gabungan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Abang Johari yang juga Premier Sarawak mengakui, ketika ini GPS dengan pakatan parti politik di Semenanjung masih dalam 'fasa bercinta' (berbaik-baik) dan sedang merancang untuk 'bertunang' (mengikat perjanjian).

"Dah nama orang kacak, semua orang ngagak, tapi kinek tuk masih bergerek, belum bertunang lagi. (Dah namanya orang cantik, semua orang cuba mendekati, tetapi sekarang masih bercinta lagi, belum bertunang).

"Tapi ada juga yang sudah bertunang boleh putus," katanya yang membayangkan GPS belum menjalin hubungan kukuh dengan mana-mana pakatan parti politik di Semenanjung.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Menurutnya, GPS akan meletakkan calon di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU-15 dan semua empat parti komponen iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sepakat dengan pembahagian kerusi yang ditetapkan sebelum ini.

ABANG Johari mempengerusikan Mesyuarat Persediaan PRU-15 GPS. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari mempengerusikan Mesyuarat Persediaan PRU-15 GPS. FOTO Nadim Bokhari

"Tiada masalah dalam soal itu (pembahagian kerusi) sebab kami sepakat untuk bertanding dengan satu logo iaitu GPS.

"Calon-calon GPS juga sudah dikenal pasti termasuk akan ada beberapa muka baharu, tetapi kami akan mengumumkannya menjelang hari penamaan calon," katanya.

Katanya, PRU-15 juga akan menyaksikan buat pertama kalinya empat parti tempatan Sarawak itubmenggunakan manifesto sendiri kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-14, empat parti terbabit masih bernaung di bawah Barisan Nasional (BN).

"Perkara utama di dalam manifesto itu nanti ialah tiga tuntutan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum diselesaikan.

"Tiga perkara itu ialah Perkara 112D berkenaan agihan geran tahunan daripada Kerajaan Persekutuan, mengembalikan kuasa pentadbiran Mahkamah Tinggi Borneo dan mendapatkan pengiktirafan beberapa jabatan teknikal negeri seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri serta Jabatan Pengairan dan Saliran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 7:33 PM