GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Amin Jalil

Seremban: Seorang kakitangan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) disahkan positif Covid-19, hari ini.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Zazali Salehudin berkata, atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban, 262 kakitangan daripada beberapa jabatan diarah melaksanakan kuarantin selama 14 hari di rumah.

"Seramai 262 kakitangan terbabit dan diarahkan kuarantin selama 14 hari bermula 5 sehingga 18 November ini.

"Antara jabatan terbabit ialah Jabatan Khidmat Pengurusan, Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan, Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Pelancongan dan Unit Letak Kereta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zazali berkata, kakitangan terbabit perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa berada di rumah dalam tempoh kuarantin serta memastikan mereka sentiasa boleh dihubungi.

Beliau berkata, premis MBS akan beroperasi seperti biasa, namun demi keutamaan keselamatan warga bandar raya Seremban dan pelanggan MBS, talian aduan MBS ditutup buat sementara waktu.

Menurutnya, dalam tempoh penutupan, aduan boleh dilakukan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MBS, mbseremban.spab.gov.my dan aplikasi Respons Rakyat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 10:59 PM