BANGUNAN KWSP. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN KWSP. FOTO arkib NSTP
Sofyan Rizal Ishak


KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar minimum caruman berkanun syer majikan untuk pekerja wajib mencarum berumur 60 tahun ke atas akan dikurangkan kepada empat peratus sebulan manakala kadar caruman syer pekerja adalah sifar peratus.

Sebelum ini, caruman majikan untuk pekerja ini adalah enam peratus, manakala caruman daripada pekerja adalah 5.5 peratus.

KWSP dalam kenyataan berkata, kadar caruman minimum baru ini akan bermula dengan gaji/upah Januari untuk potongan caruman Februari 2019.

“Langkah untuk mengurangkan kadar caruman berkanun ini adalah berikutan cadangan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2019 bagi membantu meningkatkan pendapatan boleh guna pekerja yang masih bekerja selepas mencapai umur 60 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pengurangan syer majikan kepada minimum empat peratus dapat menggalakkan peluang pekerjaan bagi pekerja yang melebihi umur 60 tahun seterusnya membolehkan penduduk yang berumur 60 tahun ke atas terus produktif dan aktif dalam ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 7:30 PM