Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah pengeluaran fleksibel berbanding pengeluaran penuh pada suku ketiga 2018.

Dalam tempoh berkenaan, KWSP mencatatkan 57.76 peratus kenaikan dalam jumlah permohonan diluluskan untuk pengeluaran fleksibel umur 55 tahun kepada 70,955 daripada 44,976 dalam suku sama pada 2017.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Operasi), Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, jumlah amaun dikeluarkan di bawah Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun adalah RM2.72 bilion dalam suku ketiga 2018, berbanding RM1.8 bilion pada suku sama 2017.

“Jumlah permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 60 Tahun meningkat 45.7 peratus kepada 43,289 (RM791.95 juta) daripada 29,712 (RM662.05 juta) tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, selaras dengan peningkatan dalam pendaftaran ahli dan majikan baru, KWSP juga merekodkan peningkatan 11.56 peratus dalam caruman diterima dalam suku ketiga kepada RM16.91 bilion daripada RM15.16 bilion dicatatkan dalam suku sama tahun lalu.

“Ia menjadikan jumlah terkumpul caruman kepada RM785.59 bilion, peningkatan 9.72 peratus daripada RM715.97 bilion dalam suku ketiga tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, menurutnya KWSP turut mencatatkan peningkatan 83.45 peratus kepada 11.09 juta penggunaan kemudahan dalam talian i-Akaun bagi suku ketiga 2018, berbanding 6.04 juta dalam suku sama tahun lalu.

“Saluran dalam talian dan layan diri KWSP terus mencatatkan peningkatan yang memuaskan dan penurunan dalam kunjungan ke kaunter dan penggunaan kiosk.

“Ini adalah selari dengan usaha strategik kami untuk mencapai tidak kurang daripada 80 peratus ahli menggunakan saluran layan diri.

“Kami secara aktif menyarankan ahli untuk mendaftar i-Akaun kerana ia membolehkan mereka untuk menyemak akaun mereka secara lebih dekat selain menjalankan transaksi dengan lebih mudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 12:01 AM