GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pengumuman kerajaan dengan menangguhkan atau mengurangkan ansuran bulanan pembiayaan ternyata memberi kelegaan kepada rakyat terutama mereka yang kehilangan pekerjaan.

Kebanyakan mereka yang terjejas menyifatkan pengumuman itu ditunggu-tunggu kerana dihimpit masalah ekonomi susulan hilang pekerjaan.

Siti Norhidayatidayu Razali, 34, meluahkan rasa syukur apabila masih diberi peluang untuk menangguhkan pembayaran bulanan bank.

SITI Norhidayatidayu Razali. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahman
SITI Norhidayatidayu Razali. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahman

"Sepanjang musim Covid-19 adalah waktu mencabar buat saya kerana kehilangan pekerjaan sejak Mac lalu dan sehingga kini belum mendapat pekerjaan baru.

"Sekurang-kurangnya dengan pengumuman ini memberi kelegaan buat saya dalam tempoh beberapa bulan sebelum mendapat pekerjaan baru.

"Terima kasih kerajaan kerana memahami keperitan yang dialami rakyat," katanya.

Sementara itu, Muhammad Faiz Abdul Rahim, 27, turut meluahkan rasa syukur dengan pengumuman berkenaan.

FAIZ Abdul Rahim, 28. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahman
FAIZ Abdul Rahim, 28. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahman

"Memang ini pengumuman yang ditunggu-tunggu kerana saya sendiri terjejas akibat Covid-19 iaitu diberi cuti tanpa gaji," katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan peminjam kategori B40 dan kumpulan perusahaan mikro diberi pilihan untuk menangguh atau mengurangkan ansuran bulanan pembiayaan mereka dengan pihak bank.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata itu adalah inisiatif kerajaan bersama institusi perbankan untuk menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40, yang menjadi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Katanya, bantuan itu juga akan memanfaatkan kumpulan perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga RM150,000.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 5:44 PM