Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Empat kakitangan tetap Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, di sini hari ini atas tuduhan membuat tuntutan palsu elaun penugasan rondaan keselamatan berjumlah RM59,520.

Tertuduh, Mohd Khairul Anuar Maliki, 32; Idrus Zakaria,47; Siti Munirah Abdul Rahim, 35, dan Sahrol Miza Samad, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa mengemukakan pengakuan baucar tuntutan elaun kepada anggota Rela yang terbabit dalam penugasan rondaan sempena bulan kemerdekaan bagi daerah Kulim pada 2019.

Dokumen itu mengandungi butiran palsu jumlah pembayaran RM59,520, kononnya bagi anggota Rela yang meronda namun penugasan berkenaan tidak dilaksanakan.

Seorang daripada empat anggota RELA yang dituduh membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Seorang daripada empat anggota RELA yang dituduh membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Mereka melakukan kesalahan itu di pejabat Rela Kedah di sini pada 10 September 2019 dengan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai berkenaan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping, manakala semua tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 27 Disember depan.

Kesemua tertuduh membayar jaminan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 1:13 PM