Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan Selangor menafikan dakwaan kehilangan rizab negeri lebih RM1 billion selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar pada 2014.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rizab terbabit sebaliknya digunakan untuk pembangunan infrastruktur, antaranya Loji Rawatan Air Labohan Dagang yang menelan belanja RM700 juta.

"Ia tidak hilang, ia digunakan dan semuanya ada dalam peruntukan kerajaan negeri, kebetulan masa saya menjadi Menteri Besar, saya umumkan rizab kita ada RM2.1 billion daripada keseluruhan.

"Antara projeknya adalah Loji Rawatan Air Labohan Dagang, Loji Rawatan Air Semenyih 2 juga Jambatan Ketiga Klang," katanya.

Beliau memberi reaksi itu ketika diminta mengulas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi yang meminta beliau menjelaskan ke mana perginya Rizab Selangor ketika membahaskan Bajet 2021 Selasa lalu.

Amirudin berkata, rizab itu juga digunakan untuk pelaksanaan lain-lain projek untuk Selangor dari masa ke semasa.

"Ada juga yang saya terpaksa ubah, sebab itu kita laksanakan penjajaran (realignment) sebab wang terbabit digunakan untuk program seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) sebab ia tidak dapat bertahan.

"Kalau untuk infrastruktur, ia akan bertahan dan boleh menjana pendapatan dan menjamin keselesaan penduduk, tetapi kalau dalam bentuk one-off (sekali bayar) setiap tahun, ia perlukan sustainability (kelestarian) tertentu.

"Jadi, semua yang kita laksanakan itu perlu penjajaran semula untuk menjamin agar peruntukan yang digunakan itu bertahan dan boleh menyelesaikan masalah jangka panjang berbanding masalah seketika," katanya.

Selasa lalu, Mohd Najwan turut membangkitkan bahawa pentadbiran Abdul Khalid meninggalkan sejumlah lebih RM3.3 bilion rizab negeri, namun kini rizab negeri dianggarkan sekitar RM2.4 bilion sahaja.

Beliau dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri perlu memberi penjelasan bagaimana sejumlah lebih RM1 bilion itu berkurangan.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

AMIRUDIN pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di SUK Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
AMIRUDIN pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di SUK Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 5:25 PM