AHMAD (kiri) dan Adly menyerahkan MoU.
AHMAD (kiri) dan Adly menyerahkan MoU.
AHMAD (dua dari kanan) dan Adly (tiga dari kanan) melepaskan penghantaran produk eksport ke Arab Saudi.
AHMAD (dua dari kanan) dan Adly (tiga dari kanan) melepaskan penghantaran produk eksport ke Arab Saudi.
SEBAHAGIAN produk yang akan dieksport ke Arab Saudi.
SEBAHAGIAN produk yang akan dieksport ke Arab Saudi.
Mohamad Hussin


Tiga syarikat tempatan membabitkan fasa pertama terpilih memasarkan produk agromakanan halal ke Timur Tengah selepas menempuh beberapa peringkat saringan.

Projek itu membabitkan tiga fasa bakal berlangsung selama tiga tahun dengan setiap fasa fokus kepada industri penyediaan makanan (katering), mesin layan diri dan peruncitan.

Oleh itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama TH Global Services Sdn Bhd (TH Global Services), anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji (TH) memasarkan produk berkenaan.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata, menerusi fasa pertama, sebanyak 14 unit menyimpan stok kategori produk rempah makanan pracampur yang bernilai hampir RM1 juta akan digunakan 12 Dapur Tabung Haji yang akan mula beroperasi pada musim haji tahun ini.

“Produk rempah sebanyak 25 tan metrik akan dihantar menerusi dua kontena pada fasa pertama membabitkan tiga usahawan.

“TH Global selaku perantara bagi penerokaan produk halal tempatan ke Arab Saudi dan negara Majlis Negara Kerjasama Teluk seperti Kuwait, Oman dan Qatar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FAMA dan TH Global Services di Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TH Global Services Sdn Bhd Adly Mohamed dan Pengarah Kanan Pasaran Antrabangsa FAMA Datuk Nazipah Jamaludin.

Ahmad berkata, untuk fasa pertama, usahawan sudah disaring dan dipilih berdasarkan kriteria seperti keupayaan pengeluaran yang konsisten, produk menarik dan berpotensi serta memenuhi pensijilan kualiti.

“Berkenaan fasa kedua membabitkan mesin layan diri iaitu sebanyak 90 produk yang dihasilkan 30 syarikat akan disaring sebelum dipilih memasuki pasaran timur tengah.

“Kami menjangka fasa kedua akan bermula pada akhir tahun ini selepas musim haji berakhir sementara fasa terakhir yang menggunakan saluran peruncitan, FAMA dan TH Global akan bekerjasama dengan pasar raya dan hotel tempatan bagi membekalkan produk agro di luar musim haji, terutama untuk kegunaan jemaah umrah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 9:19 AM