Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Harga maksimum bagi setiap satu vaksin Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19, Covax yang ditawarkan kepada Malaysia menerusi pelan peruntukan vaksin Covid-19 global adalah AS$21 (RM87.60).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, rundingan dengan Covax mengenai proses perolehan vaksin kini berada di peringkat terakhir.

"Kita harap dapat tandatangani Covax dalam waktu terdekat. Cuma ingin dijelaskan Covax hanya sebahagian daripada keperluan kita dalam mendapatkan vaksin Covid-19.

"Sebahagian besar daripada perolehan ini akan dicapai menerusi rundingan dua hala dengan negara berkaitan," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) mengenai langkah kerajaan bagi menjamin bekalan vaksin Covid-19 kepada masyarakat bagi mewujudkan imuniti kelompok.

Khairy berkata, perbincangan yang turut membabitkan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Peguam Negara itu sedang meneliti beberapa klausa perjanjian dalam Covax.

Bagi soalan asal lisan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) berhubung kaedah bekalan vaksin secara saksama, Khairy berkata, vaksin Covid-19 itu dijangka diperoleh suku pertama tahun depan dengan keutamaan diberikan untuk tiga peratus populasi negara.

"Kelompok pertama ini terdiri daripada petugas barisan hadapan meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen.

"Akses vaksin kepada masyarakat di luar bandar dan pedalaman yang tidak berkemampuan juga akan diperhalusi serta diangkat sebagai keutamaan sejajar Covid-19 ini dilihat sebagai satu keperluan asas awam," katanya.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Katanya, berdasarkan senarai vaksin Covid-19 daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertarikh 3 November 2020, terdapat 202 calon vaksin sedang dibangunkan dengan 10 daripadanya berada dalam ujian klinikal fasa tiga.

"Menerusi pendekatan pelbagai hala daripada diplomasi sains Malaysia, beberapa rundingan telah dan sedang dimuktamadkan dengan pembangun vaksin di seluruh dunia termasuklah bersama kerajaan China apabila lawatan pada 13 Oktober lalu, Menteri Luar China, Wang Yi umumkan Malaysia berada dalam senarai keutamaan untuk menerima vaksin daripada China.

"Selain itu rundingan Covax dan syarikat farmaseutikal luar negara yang lain," katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad yang membangkitkan mengenai status pelan strategik kerajaan ke arah mencapai imuniti kelompok, Khairy berkata, dasar imunisasi kebangsaan itu kini diteliti menerusi suatu jawatankuasa sedia ada.

Menerusi pendekatan latihan kepada anggota kesihatan dan imunisasi secara besar-besaran, katanya, program komunikasi bagi menjelaskan kepada masyarakat berhubung taraf keselamatan vaksin Covid-19 akan dibuat.

"Ini bagi memastikan vaksin ini mesti diambil oleh rakyat, untuk lindungi mereka daripada Covid-19. Pelaksanaan kepada pelan imunisasi, dengan latihan dan komunikasi, akan bermula akhir tahun ini bagi mencapai imuniti kelompok," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 12:15 PM