Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Beberapa rundingan dengan pengeluar vaksin Covid-19 kini sudah berada pada fasa akhir dan pengumuman rasmi akan dilakukan kerajaan apabila perjanjian dimeterai tidak lama lagi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan sudah berkomunikasi dengan 10 pengeluar vaksin Covid-19 membabitkan lapan pengeluar yang dihubungi secara terus.

Menurutnya, dua lagi pengeluar Covid-19 dihubungi melalui Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax).

"Ia susulan makluman daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa terdapat 11 calon vaksin Covid-19 yang berada pada peringkat ujian klinikal fasa 3 setakat 13 November lalu.

"Terdapat beberapa rundingan yang berada pada fasa akhir dan pengumuman rasmi akan dibuat apabila perjanjian dimeterai tidak lama lagi.

"Rundingan itu meliputi aspek kerjasama dalam pelbagai peringkat pembangunan vaksin seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pertukaran saintis, pembangunan fill and finish (pemindahan teknologi, logistik dan cold chain), termasuk pembelian vaksin (produk akhir) sebagai jaminan akses bekalan vaksin untuk negara," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang ingin tahu sama ada kementerian sudah membuat sebarang pesanan untuk mengimport vaksin daripada firma China seperti Cansino, Sinovac dan Sinopharm atau firma United Kingdom seperti AstraZeneca dan adakah kementerian bercadang menetapkan susunan keutamaan vaksinasi Covid-19 seperti yang dilakukan di Indonesia.

Khairy berkata, menerusi penyertaan dalam Covax, Malaysia akan mendapat akses bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 10 peratus daripada populasi negara.

"Kerajaan sedang berusaha mendapatkan 60 peratus lagi untuk mencukupkan sasaran imunisasi kebangsaan bagi tujuan imuniti kelompok hingga 70 peratus jumlah populasi negara.

"Kerajaan juga sedang berusaha mendapatkan akses vaksin seawal suku pertama atau suku kedua tahun depan bergantung pada kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)," katanya.

Menurutnya, NPRA akan memastikan sesuatu vaksin melepasi syarat ketat ditetapkan merangkumi soal keselamatan dan keberkesanan menerusi data ujian klinikal yang sudah dijalankan.

Khairy berkata, hanya selepas melalui proses itu, sesuatu vaksin akan diluluskan dan keputusan untuk tempahan akan dibuat.

Sementara itu, mengenai senarai keutamaan imunisasi, Khairy berkata, Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang ditubuhkan pada 14 Oktober lalu bersetuju membahagikan kepada tiga fasa keutamaan iaitu kumpulan barisan hadapan iaitu kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi bukan KKM seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan lain-lain.

"Kedua ialah untuk kumpulan berisiko tinggi seperti individu yang mempunyai co-mobid dan warga emas serta kumpulan ketiga membabitkan populasi dewasa yang lain.

"Perincian lanjut kumpulan-kumpulan itu sedang dibuat dan dijangka diumumkan seawal suku pertama tahun depan," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 1:16 PM