Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menyasarkan lebih dua juta pekerja dalam sektor pembuatan di negara ini dapat mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya September ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu dapat dicapai tertakluk kepada bekalan vaksin termasuk tenaga kerja daripada segi bilangan doktor dan pasukan perubatan yang dibekalkan bagi mempercepatkan usaha itu.

Menurut beliau, pada mesyuarat jemaah menteri semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar, memberi jaminan bahawa bekalan vaksin akan dipertingkatkan berkali ganda pada Julai dan Ogos ini.

"Kita berharap sebahagian bekalan vaksin ini dapat diperuntukkan kepada sektor ekonomi. Bagaimanapun, keutamaan tetap diberikan untuk melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana itu juga penting untuk mempercepatkan proses imunisasi membabitkan petugas barisan hadapan, kumpulan terdedah, orang kurang upaya (OKU) dan masyarakat.

"Namun pada masa sama, kita ingin melihat apabila mencapai imuniti kelompok, sektor-sektor ekonomi akan dibuka secara berperingkat. Maka sebelum kita mengambil keputusan membukanya, kita mahu pekerja-pekerja ini dapat suntikan vaksin segera.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam sidang media ketika hadir meninjau Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19 di Bukit Jawi Golf Resort, Jawi di sini. FOTO DANIAL SAAD
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam sidang media ketika hadir meninjau Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19 di Bukit Jawi Golf Resort, Jawi di sini. FOTO DANIAL SAAD

"Ia dilihat dapat dipenuhi dalam tempoh masa terdekat dan pasti dapat dilaksanakan selewat-lewatnya September ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bukit Jawi Golf Resort di sini, sempena Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) Covid-19 hari ini.

Jelasnya, sehingga kini Miti menerima permohonan kira-kira 1,200 syarikat membabitkan 200,000 pekerja yang ingin menyertai Pikas dan jumlah itu dijangka bertambah dari semasa ke semasa.

Mohamed Azmin berkata, sektor pembuatan serta perkilangan adalah tulang belakang dalam ekonomi negara dan menjadi tanggungjawab kerajaan bagi melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja melalui imunisasi.

"Program vaksinasi ini dilihat satu jalan penyelesaian yang lestari yang dapat kita capai untuk melihat kes baharu Covid-19 dapat dikurangkan dengan mencapai imuniti kelompok secepat mungkin," katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin dilaporkan berkata, kira-kira 2.25 juta pekerja dalam sektor pembuatan disasarkan menerima vaksin Covid-19 menerusi Pikas.

Beliau berkata, Pikas dilaksanakan secara berperingkat dengan 150,000 dos vaksin Covid-19 diperuntukkan bagi fasa pertama untuk tempoh sebulan bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 2:50 PM