Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Malaysia mengambil pendekatan untuk mendapatkan portfolio vaksin dari pelbagai syarikat bagi memastikan mendapat bekalan yang cukup.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bergantung kepada hanya satu syarikat akan mendedahkan Malaysia kepada risiko kepada bekalan tidak mencukupi.

Menurutnya, segala kos akhir sedang diteliti kerana ia merangkumi bukan saja kos pengangkutan, tetapi turut membabitkan penyimpanan.

"Ada perjanjian dengan Pfizer di mana kos yang kita bayar bagi satu dos vaksin itu meliputi kos pengangkutan yang akan dibayar Pfizer sendiri.

"Itu bergantung kepada perjanjian dengan syarikat berbeza. Kos akhir kita sedang teliti kerana sudah pasti bukan hanya kos pengangkutan, tetapi kos penyimpanan yang akan kita perhalusi apabila kita dapat kepastian," katanya pada sesi pertanyaan dan jawab lisan di parlimen hari ini.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai) bertanyakan mengenai apakah langkah kerajaan dalam menghadapi masalah rantaian bekalan yang berlaku kepada Pfizer seperti dilaporkan media antarabangsa.

Menjawab soalan asal mengenai status terkini penyediaan vaksin Covid-19 bagi Malaysia, Khairy berkata, sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini, Malaysia meletakkan sasaran 70 peratus daripada keseluruhan populasi negara bagi pembentukan imuniti kelompok di bawah Pelan Imunisasi Kebangsaan bagi penyakit Covid-19.

"Bagi mencapai baki sasaran sebanyak 40 peratus lagi, kerajaan masih di dalam proses perbincangan dan rundingan bersama syarikat farmaseutikal pembangun vaksin Covid-19 yang lain.

"Bagi tujuan imunisasi kepada rakyat pula, kerajaan mensasarkan tempoh suku tahun pertama 2021 bagi memperoleh wajaran pertama bekalan vaksin Covid-19," katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin.

Katanya, keputusan akhir bagi penggunaan sesuatu vaksin di Malaysia hanya akan dibuat selepas melalui proses pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 12:35 PM