Zaid Salim


Kuala Nerus: Tiga beranak cemas apabila deruan angin kencang menerbangkan atap kediaman dalam kejadian ribut di Kampung Tanjung Gelam, di sini, pagi tadi.

Ribut selama kira-kira 10 minit itu menyebabkan berlaku kerosakan kira-kira 15 rumah di beberapa kampung khususnya yang tinggal di kawasan pantai.

Penduduk, Muhammad Fareezuan Azan, 28, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri, Noor Amelia Mazlan, 24, dan anak perempuan, Noor Fathia Amani berusia lima tahun sedang berehat di ruang tamu rumah.

Katanya, secara tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi yang menakutkan sebelum tergamam melihat kepingan atap rumah satu persatu diterbangkan angin.

MOHAMAD Fareezuan membaiki bumbung rumah yang rosak selepas dibadai ribut di Kampung Tanjung Gelam. FOTO Ghazali Kori
MOHAMAD Fareezuan membaiki bumbung rumah yang rosak selepas dibadai ribut di Kampung Tanjung Gelam. FOTO Ghazali Kori

"Ini kejadian pertama yang kami alami sejak tinggal di sini dan ia sangat menakutkan. Bunyinya seperti sekumpulan tebuan yang sedang terbang.

"Kejadian jam 9.30 pagi itu menyebabkan ruang dalam rumah, perabot dan pakaian basah terkena air hujan," katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Muhammad Fareezuan berkata, dia bersyukur apabila kejadian itu tidak membabitkan kecederaan sebaliknya hanya kerosakan harta benda.

"Mujur tidak berlaku sebarang kecederaan, cuma anak saja terkejut dan menangis ketakutan.

"Keadaan hujan dan berangin bermula tengah malam tadi, namun pagi tadi secara tiba-tiba angin kencang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 7:29 PM